Kedai kotor macam sarang tikus diarah tutup

LocalFood
28 Oct 2026 • 10:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kedai kotor macam sarang tikus diarah tutup

ALOR SETAR – Sebuah premis makanan di Kulim yang tular selepas dibongkar seorang penghantar makanan kerana didakwa kotor diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya hanya 37.5 peratus.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, pihaknya mengambil maklum aduan tular di media sosial berhubung keadaan kebersihan premis yang menjalankan perniagaan melalui platform penghantaran makanan dalam talian itu.

“Susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan pada kelmarin dan mendapati aduan berkenaan adalah berasas.

“Penilaian mendapati premis memperoleh markah penilaian kebersihan hanya 37.5 peratus dengan beberapa ketidakpatuhan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ia termasuk keadaan lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di premis.

“Sehubungan itu, JKN Kedah telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan premis ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 mulai 26 Oktober (kelmarin),” ujarnya.

Satu notis kompaun juga telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Jabatan ini memandang serius sebarang pelanggaran keperluan kebersihan dan
keselamatan makanan.

“Semua pengusaha makanan diingatkan supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak, mengurus sisa makanan dengan sempurna serta mematuhi semua
keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Pada masa sama, pihak jabatan juga menegaskan bahawa peranan platform penghantaran makanan dalam talian (e-dagang) amat kritikal dalam rantaian itu.

“Pihak platform penghantaran makanan dalam talian disarankan untuk terus memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, termasuk memastikan premis yang disenaraikan memenuhi keperluan perundangan dan syarat pelesenan yang berkaitan.

“Kerjasama pihak platform dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang didapati tidak mematuhi keperluan keselamatan dan kebersihan makanan, termasuk mempertimbangkan penyahsenaraian akan membantu
melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan
selamat serta menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan
melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan.

Kosmo! semalam melaporkan Cake menasihatkan pengguna berhati-hati memesan makanan menerusi platform penghantaran susulan pendedahan seorang individu dipercayai penghantar makanan mengenai sebuah kedai makan di Kulim yang didakwa kotor seperti sarang tikus. – KOSMO! ONLINE

The post Kedai kotor macam sarang tikus diarah tutup appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved