Kenneth Vun dilantik sebagai Pengerusi Nexion Technologies berkuat kuasa serta-merta

LocalTechnology
13 May 2025 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenneth Vun dilantik sebagai Pengerusi Nexion Technologies berkuat kuasa serta-merta

image is not available

13/05/2025 - 16:35

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 13 Mei – Nexion Technologies Limited melantik Datuk Kenneth Vun sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa serta-merta bagi mengukuhkan tadbir urus serta melaksanakan strategi pengembangan jangka panjang syarikat di rantau Asia Pasifik.

Pelantikan beliau yang memiliki lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang teknologi, telekomunikasi, kewangan, dan pasaran modal dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa hala tuju strategik Nexion di pasaran serantau.

Beliau akan mengetuai aspek pengawasan lembaga pengarah terhadap strategi korporat, dasar tadbir urus, dan pembangunan perniagaan jangka panjang syarikat.

Menurut kenyataan syarikat, kepakaran Kenneth Vun dalam inovasi digital, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (fintech) dijangka menyumbang secara ketara dalam membina rumusan pintar, selamat, dan berskala untuk sektor perusahaan dan awam di Asia Pasifik.

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan di dua syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu XOX Bhd dan Symphony Life Bhd.

Dikenali dengan visi dalam mempercepat penggunaan teknologi dan mendorong transformasi pelbagai sektor, pelantikan Kenneth Vun dijangka membantu Nexion memanfaatkan rangkaian pelaburan serantau bagi mengukuhkan kedudukan pasaran.

Beliau turut mempunyai kepentingan tidak langsung dalam Nexion melalui XOX Bhd yang kini memegang 13.27% saham dalam syarikat itu.

Pemilikan tersebut menunjukkan penyelarasan kepentingan antara pengurusan tertinggi dan pemegang saham utama, selari dengan komitmen bersama untuk pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang.- DagangNews.com

standard