Public Gold dilantik sebagai pengedar utama jongkong Emirates Gold di Asia Tenggara dan Asia Barat

06/05/2025 - 11:43
Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Public Gold Group yang juga Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Wira Louis Ng Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 6 Mei – Public Gold Marketing Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar utama jongkong dan produk emas jenama Emirates Gold di Asia Tenggara dan Asia Barat, susulan termeterainya dua perjanjian strategik dengan syarikat penapis dan pengeluar jongkong emas terkenal Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates Gold DMCC.
Antara tumpuan utama kerjasama itu adalah pameran sulung produk Emirates Gold di Malaysia menerusi "Malaysia Gold Jewellery Exhibition (MGJE) 2025" yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Mei di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.
Public Gold akan menjual jongkong dan produk emas berjenama Emirates Gold di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat dengan sokongan bekalan emas fizikal secara berterusan daripada Emirates Gold, yang turut menjamin kualiti, keselamatan, dan keupayaan pengeluaran yang konsisten.
Kerjasama itu melihat Emirates Gold membekalkan emas fizikal berterusan kepada Public Gold untuk diedarkan di seluruh Asia Tenggara, seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan emas global.
Public Gold berkata, perjanjian tersebut akan memperluas akses pengguna kepada emas runcit inovatif, mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan UAE, serta membuka peluang untuk integrasi industri emas di peringkat serantau.
"Kerjasama ini menggabungkan kepakaran penapisan bertaraf dunia Emirates Gold dengan kekuatan infrastruktur runcit dan jaringan pelanggan Public Gold serantau," kata syarikat dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Gold, Abhijit Shah menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah strategik ke arah membina ekosistem emas yang telus, inovatif, dan mampan di rantau ini.
"Dengan jaringan pelabur, pengguna, dan rakan institusi yang luas di Asia Tenggara dan Asia Barat, kami yakin Public Gold mampu menaikkan jenama Emirates Gold ke tahap lebih tinggi," katanya.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Public Gold akan membawa teknologi "ATM Emas" miliknya ke UAE dalam menjadikan Malaysia pelopor dalam penjualan automatik emas secara global. Kini, lebih 70 mesin ATM Emas telah ditempatkan di Malaysia.
Public Gold akan mengendalikan operasi penuh termasuk pengurusan inventori, perkhidmatan pelanggan dan pemasaran, manakala Emirates Gold akan menyediakan bekalan emas serta kemudahan penyimpanan di UAE.

Pengasas merangkap Pengerusi Eksekutif Public Gold Group yang juga Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Wira Louis Ng berkata, kerjasama tersebut membuktikan keupayaan Malaysia dalam inovasi perdagangan emas dan meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa.
"Ini bukan hanya kejayaan Public Gold, tetapi satu pengiktirafan terhadap industri emas negara yang kini memasuki fasa baharu di peringkat global," katanya.- DagangNews.com
featured standard





