
PADA 1994, syarikat produksi filem Castle Rock Entertainment terbang ke Malaysia untuk melakukan penggambaran filem, Beyond Rangoon.
Ketika di Malaysia, pengarah dan penerbit filem tersebut, John Boorman melakukan uji bakat untuk mencari pelakon tempatan untuk membintangi filem itu di samping pelakon utama, Patricia Arquette, Frances McDormand dan Splading Gray.
Sebaik sahaja mengetahui mengenai sesi uji bakat itu, pelakon yang kini bergelar penerbit, Tiara Jacquelina tidak melepaskan peluang mencuba nasib.
Beliau bersama nama-nama besar dalam persada seni tanah air seperti Allahyarham Kuswadinata, Allahyarham M. Rajoli, Allahyarham Hani Mohsin dan ramai lagi terpilih membintangi filem tersebut.
Tiara yang ketika itu berusia 20-an, menggalas dua peranan penting dalam filem berkenaan.
“Pengarahnya, John, datang ke Malaysia untuk mencari pelakon. Saya pula ketika itu bercita-bercita untuk berlakon dalam filem Hollywood, jadi sebaik sahaja saya mendengar Boorman mencari bakat tempatan, saya terus menghadirkan diri untuk diuji bakat.
“Masa itu saya anggap ini peluang yang sangat baik kerana kita tidak perlu terbang ke Hollywood, sebaliknya mereka datang ke Malaysia. Jadi, saya tanpa berfikir panjang terus merebut peluang tersebut,” katanya.
Pelakon berusia 58 tahun itu memaklumkan meskipun sekadar membawa watak sampingan, beliau diberi kepercayaan menghidupkan dua watak berdialog hasil kecemerlangannya semasa sesi uji bakat.
“Saya bertuah kerana diberikan dua watak dalam filem yang sama. Kalau anda menonton filem itu, anda akan melihat saya memegang watak penyambut tetamu dalam satu adegan, manakala dalam adegan lain saya memainkan satu lagi watak iaitu San San, salah seorang pelajar yang menyertai perhimpunan besar-besar menetang kerajaan. Jadi, anda boleh melihat saya memainkan watak yang berlainan dalam filem tersebut dan kedua-dua watak itu berdialog,” ujarnya.

Bermula titik itu, Tiara yang ketika itu pelakon Malaysia yang sedang menempa nama, melihat kegigihan dan cara kerja kru tempatan yang berhempas pulas mencipta set penggambaran untuk filem berkenaan.
“Pembabitan dalam filem itulah yang membuatkan fikiran saya terbuka apabila melihat orang tempatan bekerja membina set penggambaran untuk sebuah filem Hollywood. Kepakaran kita tiada kurangnya jika dibandingkan dengan Hollywood. Mereka inilah orang yang sama yang mencipta set penggambaran untuk filem tempatan.
“Ramai kru produksi tempatan yang bekerja untuk filem itu. Kepakaran mereka digunapakai untuk sebuah filem antarabangsa. Saya merasakan kru produksi layak tempatan diberi peluang.
“Itu yang membuatkan saya terfikir satu masa nanti saya harus mencipta filem epik yang menggunakan anak Malaysia sebagai tulang belakang pembikinannya,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, pengalaman beraksi dalam filem antarabangsa memberikan pengalaman berharga tentang cara layanan kelas pertama produksi antarabangsa terhadap pelakon tempatan.
“Layanan produksi Hollywood pada masa itu berbeza dengan filem tempatan. Setiap pelakon diberikan rumah bermotor (motorhome) untuk keselesaan kami. Tak adalah kami menunggu ketika cuaca panas.
“Dan kami tidak dibeza-bezakan mengenai bayaran. Setiap watak berdialog diberikan bayaran yang cukup lumayan dan selain itu kebajikan kami terjaga,” kongsinya.

KITKAT CLUB
Ditanya mengenai Kit Kat Club, Tiara yang menamatkan operasi kelab itu sekitar 25 tahun lalu bersyukur kerana berjaya melahirkan pelakon-pelakon hebat yang sampai hari ini mewarnai industri seni tanah air.
Antara nama yang kekal sampai ke hari ini ialah Sofea Jane, Maria Farida, Norazah Aziz, Nasha Aziz, Linda Jasmin, Pat Ibrahim dan ramai lagi.
“Kit Kat Club adalah antara pelopor teater muzikal, berlakon, menari dan menyanyi di negara ini.
“Kami lahirkan genre teater yang baharu di arena tempatan, yang pada ketika itu teater muzikal belum lagi berkembang,” jelasnya.
Tiara bukan sahaja melahirkan pelakon, tetapi juga aktres berkaliber yang hasil kerja mereka diangkat sehingga ke hari ini.
Malah beliau gembira kerana aktres-aktres tersebut, yang merangkak bersama kelab tersebut, kini bergelar aktres prominen yang memberi impak terhadap industri seni tempatan.
“Seronok melihat ramai pelakon wanita yang berjaya hari ini lahir daripada Kit Kat Club.
“Tetapi saya tidak boleh menafikan yang menonjol dan masih aktif sehingga hari ini ialah Sofea Jane, Maria Farida dan Norazah Aziz juga mulai kembali ke bidang lakonan,” kongsinya.

PUTERI GUNUNG LEDANG
Puteri Gunung Ledang (PGL), sebuah naskhah yang mencetuskan fenomena tidak lama dahulu, kembali mencetuskan sensasi apabila sekali lagi dipentaskan bermula 31 Oktober ini.
Tiara selaku pengarah pementasan bertaraf mega ini, meluahkan rasa teruja apabila PGL bakal diberi nafas baharu tidak lama lagi.
“Saya menantikan saat ini, apatah lagi Puteri Gunung Ledang dapat kembali dipentaskan untuk penonton generasi baharu. Tidak dilupakan penonton lama yang merindukan pementasan ini.
“Saya merasakan waktunya adalah tepat, bertemu pula dengan pelakon-pelakon baharu, mereka ini diyakini dapat menjadi penyambung kepada audiens sezaman mereka.
“Saya mengharapkan semangat Puteri Gunung Ledang itu akan terus hidup untuk selamanya, Insya-Allah,” katanya.
Antara pelakon yang bakal menjayakan teater ini ialah Aisha Retno, Mila Mohsin, Mimifly, Aqasha, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim. Tiara memaklumkan seluruh tim produksi PGL bekerja keras sejak April lepas bagi memastikan persembahan terbaik.
“Sejak April lalu, kita tidak pernah berhenti membuat persiapan. Dari uji bakat, bengkel penyerapan budaya Jawa dan selepas ini bermulalah kerja-kerja produksi dengan pembinaan set pentas dan kostum yang baharu.
“Cuma tinggal muzik asal yang diberi nafas baharu yang disusun oleh oleh pemuzik, Duan dari SevenCollar T-Shirt. Beliau dilantik sebagai pengarah muzik baharu untuk pementasan ini,” ujarnya.
Tiara dalam pada itu berbangga dengan barisan pelakon pementasan itu yang mengambil inisiatif sendiri terbang ke Indonesia untuk mendalami budaya Jawa.
“Aisha, Mila, Nadia, Mimifly dan Yusof Hashim semua mengambil inisiatif sendiri untuk terbang ke Solo, Indonesia , tempat di mana saya menuntut ilmu ketika melakonkan watak Puteri Gunung Ledang satu masa dulu.
“Mereka melalui proses yang sama, atas inisiatif sendiri untuk mendalami budaya jawa dan menghidupkan watak masing-masing. Saya tabik kepada pelakon yang ada inisiatif seperti mereka,” katanya lagi.
Bercakap mengenai cabaran, aktres tersohor ini memaklumkan memenuhi jangkaan penonton baru dan lama adalah cabaran terbesar, justeru beliau tidak sabar menantikan respons peminat sebaik sahaja ia dipentaskan nanti.
“Melihatkan komen di media sosial membuatkan kami menjadi gemuruh. Ada penonton yang bakal datang, dahulu datang dengan mak ayah.
“Jangkaan penonton meletakkan kerja kami ini pada satu penanda aras yang tinggi. Apa yang saya harapkan kita dapat melepasi jangkaan penonton nanti Insya-Allah.
“Selain itu, menjadi cabaran untuk mempersiapkan pelakon mengikut proses yang telah kami lalui 20 tahun dahulu. Penting penyerapan budaya Jawa sebagai persiapan pelakon,” kongsinya.
Dalam pada itu, Tiara yakin pelakon-pelakon PGL dapat menggalas tanggungjawab sebaiknya dan akan memberi persembahan kelas pertama di hari pementasan nanti.
“Di media sosial, semua boleh melontarkan pendapat. Tapi, saya sudah melakukan pemilihan yang paling tepat sebab proses uji bakat untuk pelakon Puteri Gunung Ledang ini terlalu susah.
“Saya tahu kebolehan pelakon yang saya pilih dan hasilnya akan terbukti di atas pentas nanti,” sambungnya.
The post Kepakaran kita tiada kurangnya – Tiara Jacquelina appeared first on Utusan Malaysia.






