
JAKARTA – Seorang penduduk di Kota Tangerang, wilayah Banten terkejut apabila melihat seekor ular sawa sepanjang 3 meter menjulur keluar dari dalam mangkuk tandas rumahnya, lapor laman berita Detik.
Penghuni bernama Arbiyanto Ardi berkata, penemuan mengejutkan itu dibuat oleh anaknya di rumah mereka di Karanganyar, baru-baru ini.
“Sehari sebelum kejadian, seekor tikus keluar dari mangkuk tandas. Pada keesokan hari, anak saya melihat kepala ular terjulur keluar,” kata Arbiyanto.
Dia kemudian mendapatkan pertolongan daripada penduduk tempatan untuk mengeluarkan reptilia tersebut selepas selesai solat Maghrib.
Empat orang dewasa berjaya mengeluarkan ular tidak berbisa itu sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan).
Reptilia berkenaan dilepaskan semula ke alam liar yang terletak jauh dari kawasan perumahan. – AGENSI
The post Kepala ular menjulur keluar dari mangkuk tandas appeared first on Kosmo Online.

