
ANAK pelakon Amyza Aznan meruntun hati penonton program realiti Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) apabila muncul menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian asal Datuk Sheila Majid.
Adrian Adam, 18, yang menghidap kanser tulang sejak awal tahun ini di pentas dalam keadaan berkerusi roda menimbulkan rasa sayu.
Walaupun sedang bertarung dengan penyakit berbahaya, anak kedua daripada tiga beradik itu menyampaikan lagu dengan baik dan penuh penghayatan.
Sementara itu, Amyza yang duduk di bangku pengurus tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata sehingga ditenangkan oleh para pengurus lain termasuk Datuk A Aida dan Linda Jasmin.

Difahamkan, Adrian yang mesra disapa Ian sepatutnya menjadi salah seorang peserta TTMM2 namun terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan yang dialami.
Rakan baik Amyza, pelakon Didie Alias mengakui sebak menyaksikan persembahan Adrian.
"Kami semua sayang Ian. Doakan Adrian. Sayang kalian. Sayang korang @amyzaaznankaaia
"Saya mohon doakan anak ini sentiasa kuat dan dikurniakan keajaiban, aamiin," titip Didie.

Sementara itu Adrian menerusi Insta Story berterima kasih kepada guru vokal, Shafizawati Sharif atas tunjuk ajar yang diberikan.
"Terima kasih Cikgu Shafi yang juga godmother kerana membimbing saya melalui perjalanan ini.
"Saya sayang cikgu," titipnya.
Terima tawaran komposer
Memetik laporan Kosmo, Adrian menerima tawaran daripada seorang komposer yang juga pemilik syarikat rakaman hanya kira-kira 30 minit selepas membuat persembahan berkenaan.
Perkara itu dikongsikan Amyza yang dihubungi komposer berkenaan menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.
Warganet menerusi ruangan komen memuji persembahan dan kemerduan suara Adrian serta memberikan sokongan agar remaja itu terus kuat.
Ujar mereka:
"You are a true fighter Ian."
"Menang tanpa bertanding. Masya-ALLAH sedap suaranya."
"Wajah yang tenang dengan suara merdu. Semoga ALLAH angkat darjat Adrian dan lepaskan semua kesakitannya."
"Sedap suaranya, walaupun dalam keadaan duduk dan tarik nafas begitu. You win adik, you already won."
"Legasi Anuar Zain muncul."
Adrian terdahulu disahkan menghidap kanser tulang pada 19 Februari lalu beberapa hari sebelum abang sulungnya .
Amyza sebelum ini kehilangan anak sulungnya, Andre Mikhail akibat kanser paru-paru tahap tiga pada 23 Februari lalu.
