Kepimpinan Siswa Bersatu letak jawatan, sokong gerakan 'Reset'

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kepimpinan Siswa Bersatu letak jawatan, sokong gerakan 'Reset'
Sekumpulan pemimpin Siswa Bersatu mengumumkan peletakan kesemua jawatan berkuat kuasa serta-merta. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Sekumpulan pemimpin tertinggi dalam Siswa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan kesemua jawatan yang dipegangnya, berkuat kuasa serta-merta.

Presiden Siswa Bersatu, Ameer Hazeem Mohd Zaky berkata, keputusan yang dibuat secara kolektif itu bukan tindakan melulu.

Sebaliknya, menurut beliau, ia ketetapan yang diambil setelah memerhati dan menganalisis keadaan baik di dalam parti mahupun gabungan secara menyeluruh.

"Dengan peletakan jawatan melalui kenyataan ini juga, keahlian kami turut terhenti.

"Justeru, kami menyatakan kesediaan untuk bersama dengan gerakan 'Reset' yang akan membawa nafas baharu kepada negara.

"Perkara ini selaras Gagasan Konsensus Nasional yang akan ditonjolkan kepada rakyat Malaysia tidak lama lagi," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersama Naib Presiden Siswa Bersatu, Muhammad Hakim Mohd Helmy; Setiausaha Agung Siswa Bersatu, Wan Amir Hakim Wan Mohd Asdi dan Bendahari Kehormatnya, Sarah Hannani Ahmad Fikri.

Ameer Hazeem berpandangan, pihaknya tetap berpegang kepada keyakinan bahawa penyatuan ummah merupakan asas penting dalam memperkukuh kestabilan politik dan memperjuangkan kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat perbezaan yang semakin ketara antara pendirian tersebut dengan hala tuju semasa parti.

"Setelah melalui pertimbangan mendalam, kami mengambil keputusan untuk berundur dan meneruskan perjuangan melalui wadah yang kami rasakan lebih selari dengan prinsip tersebut.

"Kami tetap berterima kasih kepada parti atas segala peluang diberikan dan mendoakan yang terbaik untuk Bersatu," ujarnya.

Pada Isnin, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

Keputusan drastik itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi membincangkan hala tuju parti mendepani fasa politik baharu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.

Menurut beliau, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan ummah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada Selasa pula mendedahkan bahawa tindakan Bersatu menentang kemasukan parti lain dalam PN menjadi punca hubungan politik dengan Pas ditamatkan.

Susulan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan pihaknya terus kekal berada dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya sebagai parti pengasas gabungan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, fokus utama ketika ini memastikan agenda prihatin yang diperjuangkan PN terus diperkasakan meskipun sudah tidak lagi bekerjasama dengan Pas.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta