
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang digantung dari Bersatu, menegaskan beliau tidak akan menyertai semula Umno walaupun ada kepimpinan tertinggi yang datang menemuinya.
Sebaliknya, Mas Ermieyati mahu menumpukan kepada gerakan Reset, yang diterajui bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Saya tidak akan masuk Umno. Memang ada kawan-kawan dalam Umno, minum bersama, ada top-top leadership datang jumpa saya, tapi tidak.
“Terima kasih kepada Umno, terima kasih kepada Bersatu...tapi kita nak bawa ke arah yang lebih baik. Yang lepas tu lepaslah,’’ katanya ketika berucap pada Taklimat Reset Negeri Sembilan, hari ini.
Mas Ermieyati menyatakan demikian kerana katanya, ramai yang meminta beliau mengumumkan pendirian secara terbuka selepas Umno membuka ruang kepada mana-mana individu termasuk bekas pemimpin dan ahli Bersatu untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Pada Mac, Bersatu mengumumkan menggantung keahlian Mas Ermieyati yang juga Ketua Srikandi dan Naib Presiden Datuk Seri Ronald Kiandee berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan penggantungan selama dua penggal pemilihan parti itu dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu selepas kedua-dua pemimpin berkenaan didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Parti serta kod etika ahli.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati menegaskan meskipun digantung daripada Bersatu namun beliau bersedia menjadi jurucakap kepada Reset.
Menurut Mas Ermieyati, beliau yakin dan percaya apa yang dibawa oleh gerakan itu sesuai untuk Malaysia pada masa hadapan.
“Saya tak nak pandang belakang, walaupun digantung, saya bersedia jadi jurucakap Reset.
“Kita susun elok-elok, saya yakin dan percaya apa yang dibawa ini sesuai utk Malaysia di hadapan. Perjuangan tetap sama, pastinya untuk agama, bangsa dan negara,’’ katanya.
Dalam taklimat berkenaan, beliau turut memberitahu, parti baharu bakal diterajui Hamzah akan dilancarkan pada pertengahan bulan depan. - 30 Mei, 2026
The post ‘Yang lepas tu lepaslah’ Mas Ermieyati tidak akan kembali pada Umno appeared first on Scoop.
