Kepulangan aktivis GSF 2.0 simbol solidariti Malaysia bersama Gaza

24 May 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kepulangan aktivis GSF 2.0 simbol solidariti Malaysia bersama Gaza
Matlamat utama GSF 2.0 ialah melumpuhkan ‘hasbara’ atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia. Foto: Bernama

KEPULANGAN 29 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan sekadar perjalanan pulang biasa.

Ia adalah kepulangan yang sekali lagi dinanti-nantikan rakyat Malaysia dengan penuh debaran, doa dan rasa bangga terhadap keberanian aktivis membawa suara kemanusiaan mengenai Gaza, Palestin.

Kesemuanya dijangka tiba di Malaysia pada Ahad selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel bersama 428 aktivis antarabangsa lain yang ditahan ketika misi berkenaan cuba menghampiri Gaza melalui laluan laut.

Apa yang berlaku terhadap delegasi GSF 2.0 sekali lagi membuka mata dunia bahawa isu Gaza bukan lagi sekadar konflik serantau.

Ia merupakan krisis kemanusiaan global yang terus mengundang solidariti masyarakat antarabangsa.

Walaupun berdepan risiko ditahan, disoal siasat malah didakwa mengalami kecederaan, aktivis tetap meneruskan misi membawa bantuan dan mesej kemanusiaan.

Perkara ini turut mengingatkan rakyat Malaysia kepada beberapa episod lampau membabitkan misi kemanusiaan ke Palestin dan kawasan konflik lain.

Setiap kali rakyat Malaysia terlibat dalam misi berisiko tinggi sebegini, seluruh negara akan menunggu dengan penuh cemas perkembangan semasa mereka.

Bezanya kali ini, perhatian dunia terhadap Gaza berada pada tahap yang jauh lebih besar susulan tekanan antarabangsa terhadap Israel yang semakin memuncak.

Di samping itu, kepulangan delegasi Malaysia bukan hanya diraikan sebagai kejayaan individu, tetapi juga simbol bahawa suara rakyat biasa masih mampu memberi tekanan moral kepada masyarakat antarabangsa.

Meskipun terdapat segelintir pihak mempersoalkan keberkesanan flotila sebegini, hakikatnya misi tersebut berjaya menarik perhatian dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang semakin parah.

Ini selari dengan matlamat utama GSF 2.0 iaitu melumpuhkan ‘hasbara’ atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia.

Dalam masa sama, kerajaan Malaysia juga memainkan peranan diplomatik penting dalam memastikan keselamatan delegasi negara.

Kenyataan bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghantar pesawat khas untuk membawa keluar aktivis dari Israel menunjukkan wujud kerjasama antarabangsa dalam menangani isu berkenaan.

Namun, selepas semua sorakan dan sambutan kepulangan ini berakhir, persoalan lebih besar masih kekal.

Sampai bila dunia hanya mampu menunggu ‘kepulangan’ para aktivis, sedangkan rakyat Gaza terus menanti keamanan?