‘KePulauan’ Tampil Naratif Seni Serantau, Balai Seni Negara Satukan Suara BIMP-EAGA

18 Jul 2025 • 7:07 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Balai Seni Negara kembali mencuri tumpuan dengan penganjuran pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari, yang membuka ruang kepada pelbagai suara seni dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina bermula 18 Julai 2025 hingga 31 Mei 2026.

image is not available

Pameran di Balai Seni Negara melibatkan penggiat seni visual

Pameran berprestij ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah LPSVN, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, bersama wakil agensi, kurator dan penggiat seni visual dari negara-negara anggota BIMP-EAGA.

image is not available

Pameran di Balai Seni negara ini sokong jaringan kerjasama serantau dalam pelancongan & kebudayaan

Difahamkan, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda Diplomasi Budaya selaras Pelan Strategik MOTAC 2021–2025, yang menyokong jaringan kerjasama serantau dalam pelancongan dan kebudayaan.

Ia juga bertepatan dengan visi BIMP-EAGA 2025 (R.I.S.E) yang menekankan daya tahan, inklusiviti dan kemampanan, selari dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.

Menariknya, pameran ini mengetengahkan refleksi visual menyentuh pelbagai dimensi seperti ekonomi, sosial, alam sekitar dan kearifan tempatan — mewakili wilayah-wilayah dari Kalimantan, Mindanao, Palawan, Sabah, Sarawak, Labuan hingga Kesultanan Brunei Darussalam.

image is not available

Antara seniman terlibat termasuk Josrie bin Haral, Muslim bin Mattajim, Dr. Mohamad Faizuan Mat (Malaysia), Umi Zaty Bazillah dan Asilah Maziyah (Brunei), Chester M. Mato, Leonard B. Ansiong (Filipina), dan Audro Chrustofel Rompas (Indonesia) serta kolektif seni seperti Susur Galur dan Muara Suara.

Arah kuratorial turut diperkaya dengan penyertaan kurator serantau seperti Zakaria bin Omar (Brunei), I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama (Indonesia), serta Al Nezzar B. Ali (Filipina), mempersembahkan pelbagai bentuk seni seperti instalasi, media campuran, fotografi, videografi dan banyak lagi.

image is not available

Artikel lain: Angkat Khazanah Warisan Negara, Jabatan Muzium Malaysia Anjur Pameran Pesona Telepuk

Sebanyak 12 karya dipamerkan, termasuk karya koleksi Balai Seni Negara oleh Yee I-Lann yang juga mencerminkan kekuatan naratif seni kontemporari rantau ini.

Orang ramai dijemput hadir dan menyelami ekspresi budaya serantau yang jarang diketengahkan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.