
PUTRAJAYA – Keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan adalah keputusan muktamad badan pembuat keputusan tertinggi parti berkenaan dan ianya perlu dihormati.
Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Hannah Yeoh berkata, mesyuarat CEC DAP pada Sabtu lalu turut mendengar pelbagai cadangan dan juga pandangan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lain dalam perbincangan tersebut.
“CEC telah bermesyuarat lama dan pelbagai cadangan telah diberikan dan pendapat kita telah dengar. Dan keputusan akhir iaitu keputusan muktamad CEC ‘this is the highest decision-making body’ telah membuat keputusan bahawa Anthony Loke menawarkan diri untuk meletak jawatan.
“Dan itu adalah keputusan CEC. Perbincangan lain saya tak nak dedahkan kerana itu adalah dalam perbincangan CEC, tetapi kita kena hormati keputusan yang CEC telah buat,” katanya menerusi sidang akhbar selepas pengumuman Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Hannah berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau turut merasai tekanan dan akan mengambil langkah sama susulan pengumuman peletakan oleh Anthony Loke sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebelum ini, Anthony Loke dilaporkan berkata, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada Lembaga Pengampunan akan mendedahkan minit mesyuarat tempoh hari, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) enggan memberikan sebarang komen lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Keputusan CEC mengenai Anthony letak jawatan muktamat, perlu dihormati – Hannah appeared first on Kosmo Online.





