
SEGULUNG ijazah dengan keputusan cemerlang sepatutnya menjadi tiket untuk melangkah ke alam pekerjaan dengan penuh keyakinan, namun di sebalik transkrip akademik tersebut, terdapat graduan yang gugup ketika berada di hadapan panel temu duga.
Jawapan yang diberikan tersangkut-sangkut sekali gus menyebabkan keyakinan mula ‘padam’ secara perlahan-lahan.
Menurut Guru Bahasa, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Fawiz Bakri, kelemahan komunikasi dalam kalangan graduan tidak semestinya berpunca daripada kekurangan ilmu, sebaliknya mungkin disebabkan kesukaran untuk menterjemahkan pengetahuan kepada hujah lisan secara tersusun.
“Perlu membezakan tiga perkara iaitu ilmu pengetahuan, berfikir dan menyampaikan.
“Seseorang graduan mungkin mempunyai pengetahuan yang luas dalam menganalisis sesuatu isu, tetapi apabila diminta menjelaskan pendiriannya secara spontan, mereka gagal menyusun pemikiran menjadi hujah yang meyakinkan.
“Sebab itu, budaya pembelajaran perlu memberi ruang kepada pelajar berhujah dan membuat pembentangan spontan supaya tekanan intelektual ketika temuduga tidak terasa terlalu asing,” katanya.
Menurut Fawiz, kecekapan berkomunikasi dalam ruang digital tidak semestinya seiring dengan kemahiran lisan, maka gugup ketika berkomunikasi perlu ditangani melalui latihan berperingkat.
“Apabila berkomunikasi melalui teks, kita mempunyai masa untuk menyunting ayat, memadam kesilapan dan memilih perkataan, namun komunikasi bersemuka menuntut kita mengurus nada suara, ekspresi wajah, bahasa tubuh serta memberikan respons spontan.
“Rasa gugup ketika berucap merupakan pengalaman biasa, tetapi ketakutan sehingga menjejaskan fungsi dan peluang seseorang mungkin memerlukan bantuan lebih khusus,” katanya.
Jelasnya, latihan perlu bermula dalam ruang selamat, diikuti aktiviti komunikasi spontan secara berulang dan maklum balas membina.
“Dengan cara itu, individu dapat meningkatkan keyakinan tanpa berasa dipersalahkan setiap kali melakukan kesilapan,” ujarnya.
Paling penting, Fawiz berkata, pendekatan tersebut menunjukkan kemahiran komunikasi tidak wajar dianggap bakat semula jadi semata-mata.
“Komunikasi hebat bukan hanya tentang cara kita menjawab, tetapi bagaimana kita memahami soalan, membaca keperluan audiens dan memberikan respons relevan.
“Panel temu duga tidak semestinya mencari individu paling petah bercakap. Mereka mahu mengenal pasti calon berupaya berfikir, bekerjasama dengan orang lain, menyelesaikan masalah dan menyumbang kepada organisasi,” katanya.
Hakikatnya, temu duga bukan pertandingan pidato. Panel bukan hanya mahu mendengar calon menyenaraikan pencapaian, sebaliknya mencari bukti bahawa pengetahuan dan kemahiran boleh diterjemahkan kepada tindaka
The post Keputusan cemerlang, tapi gugup temu duga appeared first on Kosmo Online.
