'Keputusan keluar parti menjelang PRN hak individu' - Ahmad Zahid

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 7:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Keputusan keluar parti menjelang PRN hak individu' - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa Ke-25 di Stadium Titiwangsa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian mana-mana pemimpin dalam membuat keputusan termasuk mereka yang bertindak keluar parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini,  kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu merupakan hak individu berkenaan, namun parti amat menghargai dukungan ahli baharu dan lama kepada kepimpinan BN Johor di bawah Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"...yang penting adalah memberikan sokongan kepada semua 56 calon BN untuk PRN Johor nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-25 di sini pada Jumaat.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil berhubung kenyataan berbaur fitnah oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengumumkan keluar parti semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk mengenakan tindakan terhadap beliau.

"Beliau telah berhenti, jadi tidak perlu sebarang tindakan tertentu dilakukan dan beliau telah menawarkan diri untuk tidak bersama-sama dengan UMNO.

"Kita menghargai apa yang telah beliau sumbangkan kepada UMNO selama ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Dr Mohd Puad Zarkashi," katanya.

Mohd Puad menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook semalam mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan serta bagi membolehkan beliau menyuarakan pandangan secara bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pada 11 Julai ini. 

Selain Mohd Puad, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim turut mengumumkan keluar daripada UMNO, berkuat kuasa semalam dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN).- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved