SPR ada kuasa tentukan tarikh pilihan raya: Zahid

LocalPolitics
13 Jun 2026 • 2:55 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: SPR ada kuasa tentukan tarikh pilihan raya: Zahid

KUALA LUMPUR - Penetapan tarikh pilihan raya adalah hak mutlak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk anggota pentadbiran kerajaan, kata Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab mengenai kritikan mengenai penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berasingan bagi Johor dan Negeri Sembilan.

“Itu adalah hak dan kuasa SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu, apatah lagi jika berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri, mengemukakan pandangan peribadi sedemikian.

“Lebih-lebih lagi jika individu berkenaan adalah pemimpin utama parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Keempat (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan mengenai PRN Johor dan Negeri Sembilan yang diadakan secara berasingan.

Sambil menyifatkan penjelasan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun sebagai ‘tidak masuk akal’ dan ‘mengarut’ Nga berkata seluruh suruhanjaya itu wajar meletak jawatan jika tidak mampu mengadakan pilihan raya serentak.

Terdahulu, Ramlan berkata pilihan raya serentak tidak dapat diadakan di Johor dan Negeri Sembilan susulan isu logistik dan persiapan melibatkan petugas suruhanjaya berkenaan.

Jelas beliau pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang berlaku secara mengejut telah menyebabkan persiapan bagi negeri tersebut bukan dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

SPR sebelum ini menetapkan PRN Johor diadakan pada 11 Julai manakala hari mengundi bagi Negeri Sembilan adalah pada 1 Ogos.

Pada 1 Jun lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Ia disusuli pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada 4 Jun yang mengumumkan DUN Negeri Sembilan dengan 36 kerusi, dibubarkan pada keesokan harinya setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – 13 Jun, 2026

The post SPR ada kuasa tentukan tarikh pilihan raya: Zahid appeared first on Scoop.