KUALA LUMPUR – Keputusan kes saman AS$14.57 juta oleh syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan kehilangan lebih 40 barang kemas akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Jun depan.
Hakim, Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan memaklumkan bahawa kontraktor, Chong Tong Leong merupakan saksi terakhir memberi keterangan dalam kes berkenaan.
Semasa prosiding, Chew Soon berkata, syarikat barang kemas dari Lubnan selaku plaintif perlu memfailkan hujahan bertulis pada 13 Mei.
"Sementara defendan (Rosmah) membalas hujahan pada 28 Mei dan mahkamah menetapkan 10 Jun bagi keputusan yang akan disampaikan menerusi aplikasi Zoom," katanya.
Dalam prosiding ini, Tong Leong selaku saksi keenam bagi pihak ketiga memberitahu, dia merupakan pihak kontraktor yang diupah untuk mengubah suai rumah dan pejabat.
Bagi pengubahsuaian kediaman mewah di Pavilion Residences yang dikaitkan dengan Rosmah, 75, dia berkata, kerja-kerja pembaikan dijalankan bermula Mac hingga Mei 2018.
Lelaki itu berkata, pemilik unit tersebut dikenali sebagai Nadziff memintanya mengubah suai rumah termasuk membaiki penghawa dingin.
Ketika tiba di kediaman itu tiga hari sebelum serbuan pihak polis dibuat, Tong Leong, 53, berkata, terdapat beberapa bagasi diletakkan di bilik bawah.
"Saya tiba seorang diri di unit itu antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 14 Mei 2018 untuk membuat pemeriksaan sebelum penghawa dingin dipasang.
“Melihat keadaan tersebut, saya terus keluar daripada unit tersebut dan menuju ke parkir kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku," katanya.
Pendengaran kes saman itu berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu dengan seorang saksi tunggal plaintif Global Royalty iaitu Pengarah Urusan Global Royalty Trading SAL Samer Hassib Halimeh memberi keterangan.
Ia diikuti keterangan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu selaku defendan tunggal.
Selain Tong Leong, antara lima saksi pihak ketiga yang hadir memberi keterangan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman (Risikan/Operasi) dan pegawai kanan polis, ACP Foo Wei Min.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa, hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa, Rosmah telah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Ketua Polis Negara dan kerajaan pula dinamakan sebagai pihak ketiga dalam kes saman tersebut.




