
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa polis menemui banyak wang tunai dan barang kemas dalam serbuan di kediaman mewah di Pavilion Residences yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hingga melimpah keluar dan bertaburan atas lantai.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata barang berkenaan daripada 71 bagasi, 284 kotak beg kanan dan satu kotak plastik lutsinar semasa serbuan dijalankan di kediaman mewah yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada 17 Mei 2018.
Menurutnya, beg-beg itu mengandungi pelbagai mata wang asing manakala beg yang mengandungi barang kemas diletakkan dalam plastik.
Amar Singh mengetuai pasukan serbuan tiba di penthouse dua tingkat itu pukul 6.30 petang dan mendapatinya tidak berpenghuni manakala bagasi dan kotak ditempatkan dalam dua buah bilik manakala dua buah bilik lagi adalah kosong, lapor Malaysia Gazette.
Beliau memberitahu, pasukan serbuan pada awalnya berhasrat untuk mengira dan membuat penandaan barang kes di kediaman itu namun tidak dapat dilaksanakan kerana jumlahnya terlalu banyak.
“Wang di dalam beg-beg berkenaan juga tidak dikumpul dan diikat dengan sempurna menyebabkannya melimpah keluar ke lantai sehingga mereka terpaksa menzipnya kembali. Sama juga dengan barang kemas dalam beg-beg berkenaan, ia terlalu penuh hingga terkeluar sehingga kami tidak dapat mengiranya.
“Bayangkan jika kita membuat pengiraan dan penyenaraian eksibit, saya akan menulis satu jenis barang kemas tetapi terdapat sehingga 12,000 unit untuk satu rantai. Terlalu banyak,” ujarnya.
Amar yang juga saksi kedua bagi pihak ketiga berkata demikian pada perbicaraan kes saman AS$14.57 juta yang difailkan oleh syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL berkaitan kehilangan lebih 40 barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah.
Kerajaan Malaysia dan PDRM turut dimasukkan sebagai pihak ketiga dalam saman itu.
Pada 29 Mac 2023 Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
Amar selanjutnya berkata, pasukan serbuan ketika itu tidak mempunyai mesin penimbang mahupun pakar dalam penyenaraian barang kes atau menentukan barang kemas tersebut adalah emas tulen, emas palsu atau berlian.
Premis itu juga, katanya, tidak mempunyai pendingin hawa dan pasukannya tidak mempunyai peralatan menimbang dan mengukur serta tiada kepakaran untuk menyenarai dan mengesahkan setiap item.
Pasukan serbuan, menurut Amar memutuskan untuk membungkus beg dalam pembungkus plastik (sama seperti yang digunakan di lapangan terbang) untuk memastikan beg itu selamat dan integriti barang kes dikekalkan sebelum menghantarnya ke Bukit Aman dengan bantuan lima buah `Black Maria’.
Sementara itu, Amar dalam pernyataan saksinya berkata, pemeriksaan dan penilaian barang kemas itu dijalankan dari 30 Mei 2018 hingga 25 Jun 2018 di tingkat 34 Menara KPJ.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Quay Chew Soon bersambung petang. - 14 April, 2026
The post Wang, barang kemas melimpah atas lantai ketika Pavilion Residences digeledah: saksi appeared first on Scoop.





