PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menerusi keputusan majoriti 2-1, dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu wajar dilepas dan dibebaskan.
**media[3581093]**
Sementara Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel tiga hakim, menjadi satu-satunya hakim yang berbeza pandangan apabila mendapati bekas Menteri Belia dan Sukan itu bersalah.
Keputusan majoriti itu menyaksikan rayuan akhir pendakwaan ditolak, sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Keputusan tersebut menoktahkan perjuangan undang-undang bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu yang berlarutan sejak lima tahun lalu, selain mengubah sama sekali haluan kehidupan dan masa depan politiknya, termasuk alam perkahwinan yang bakal dibina bersama tunang yang juga penyanyi, Bella Astillah.
**media[3580787]***
Sebaik keputusan diumumkan, kamar mahkamah bergema dengan tepukan dan sorakan daripada ahli keluarga serta penyokong Ahli Parlimen Muar itu.
Semasa prosiding, Abu Bakar berkata, dua hakim mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq selaku responden.
“Responden kekal dilepas dan dibebaskan," kata Abu Bakar.
**media[3581092]**
Semasa membaca keputusan menentang, Abu Bakar berkata, responden dibebaskan daripada pertuduhan pertama iaitu bersubahat pecah amanah kerana elemen penting dalam pertuduhan itu tidak jelas.
“Pertuduhan itu menyatakan bagaimana wang itu disalahgunakan secara tidak jujur, maka saya berpendapat, maklumat yang mencukupi tidak tergambar dalam kes ini.
“Bagaimanapun, saya mensabitkan responden atas pertuduhan kedua, ketiga dan keempat yang mana ia telah terbukti,” katanya.
Abu Bakar berkata, Syed Saddiq perlu dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan atas pertuduhan kedua.
“Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dalam kes AMLA responden dikenakan hukuman masing-masing enam bulan lagi serta denda RM5 juta.
“Gagal bayar denda tersebut, responden boleh dipenjara selama dua tahun bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Sementara itu, dua hakim yang membentuk majoriti mendapati, tiada kesilapan dibuat panel hakim Mahkamah Rayuan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Che Mohd Ruzima berkata, Syed Saddiq tidak boleh dikatakan bersubahat kerana Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali tidak pernah didakwa di mahkamah berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, Rafiq Hakim yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-13, telah melakukan pecah amanah selepas menerima arahan daripada Syed Saddiq supaya memindahkan wang tersebut.
"Hanya berdasarkan pengakuan SP13 dengan menyatakan dia melakukan kesalahan tanpa bukti kukuh, ia tidak menjadikannya sebagai bukti yang boleh diterima mahkamah.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa RM120,000, yang dikatakan disalahgunakan oleh Syed Saddiq, adalah milik Armada Bumi Bersatu Enterprise atau ABBE,” katanya.
**media[3580789]**
Beliau berkata, berdasarkan bukti, wang berkenaan bukan milik ABBE, SP13 atau orang lain.
Katanya, dana tersebut pada asalnya milik penderma tetapi ia telah bertukar tangan kepada Syed Saddiq untuk membiayai kempennya di Muar, menjadikannya sebagai penerima manfaat.
Sementara itu Collin bersetuju dengan Che Mohd Ruzima bahawa responden berhak secara sah terhadap wang yang dikumpulkan tersebut.
"Saya juga bersetuju dengan dapatan Mahkamah Rayuan kerana tidak menemui sebarang kesilapan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
"Setiap rayuan pendakwaan ditolak jadi keputusan Mahkamah Rayuan disahkan," katanya.
**media[3580790]**
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam AMLA iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan beliau atas semua pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Menerusi penghakiman setebal 22 muka surat, mahkamah menolak pembelaan Syed Saddiq sambil menyifatkan keterangannya `tidak masuk akal’.
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pada 25 Jun 2025, anak jati Johor Bahru itu bernasib baik apabila Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskannya daripada sabitan serta hukuman itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara menyatakan tindakan mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.





