Keputusan OPEC+ tentukan hala tuju harga minyak Disember

Business & Finance
24 Nov 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan OPEC+ tentukan hala tuju harga minyak Disember

PETALING JAYA: Keputusan mesyuarat OPEC+ pada 29 November ini dijangka menjadi penentu utama hala tuju harga minyak mentah global menjelang akhir tahun, khususnya ketika pasaran berdepan risiko lebihan bekalan susulan pemulihan pengeluaran minyak dunia.

Penganalisis ekonomi, Dr. Aimi Zulhazmi Abd Rashid berkata, keputusan kumpulan negara pengeluar minyak itu mengenai kuota pengeluaran bagi 2027 akan mempengaruhi pergerakan harga minyak mentah Brent yang dijangka berada dalam lingkungan AS$88 (RM362.31) hingga AS$98 (RM403.48) setong pada Disember ini.

Menurutnya, sekiranya OPEC+ memberi isyarat untuk mengekalkan atau mengurangkan pengeluaran bagi mengelakkan lebihan bekalan, harga minyak berpotensi kekal melebihi AS$95 setong.

“Bagaimanapun, keputusan membenarkan peningkatan pengeluaran boleh menyebabkan harga minyak susut kepada bawah AS$85 (RM349.96) setong.

“Saya juga menjangkakan harga minyak pada Disember lebih rendah berbanding Oktober, namun tidak menyifatkan penurunan itu akan berlaku secara mendadak seperti yang diunjurkan sesetengah pihak sebelum ini.

“Secara fundamental, harga minyak memang berdepan tekanan untuk turun pada Disember berikutan bekalan yang semakin pulih dan lebihan bekalan yang kembali muncul dalam pasaran.

“Namun, risiko geopolitik di Timur Tengah masih menjadi faktor yang menghalang harga daripada jatuh terlalu jauh,” katanya kepasa Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, risiko geopolitik masih menjadi faktor penting yang boleh menyebabkan harga minyak kekal tidak menentu meskipun bekalan global semakin pulih.

“Ketegangan di Asia Barat, termasuk risiko gangguan terhadap laluan penghantaran minyak di Laut Merah dan Teluk, terus mendorong pasaran mengambil kira premium risiko geopolitik dalam penetapan harga.

“Perbezaan unjuran beberapa institusi kewangan antarabangsa turut menggambarkan ketidaktentuan prospek pasaran minyak.

“Goldman Sachs pada 1 November menaikkan unjuran harga Brent bagi Disember kepada AS$105 (RM432.31) setong berikutan jangkaan premium risiko geopolitik kekal tinggi.

“Sebaliknya, JPMorgan mengunjurkan purata harga Brent sekitar AS$80 (RM329.37) setong pada suku keempat dan berakhir pada sekitar AS$78 (RM321.14) setong menjelang hujung tahun sekiranya OPEC+ terpaksa mengurangkan pengeluaran pada awal 2027,” katanya. 

Sebelum ini, laporan media yang memetik analisis firma penyelidikan pasaran Euler oleh RIA Novosti turut menjangkakan harga minyak terus menurun menjelang akhir tahun susulan pemulihan eksport dari Asia Barat.

Harga minyak mentah penanda aras Dated Brent dilaporkan merosot 25 peratus antara 1 Oktober hingga 16 November, meskipun import minyak China meningkat ke paras tertinggi sejak Mac.

Mengulas kesan perkembangan itu terhadap Malaysia, beliau berkata, penurunan harga minyak global membawa implikasi berbeza kepada pengguna dan kedudukan kewangan kerajaan memandangkan negara masih merupakan pengeluar minyak.

“Harga minyak yang lebih rendah dapat mengurangkan tekanan inflasi melalui penurunan kos pengangkutan, logistik dan makanan, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli pengguna menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

“Pada masa sama, keadaan itu berpotensi mengurangkan tekanan terhadap kerajaan dalam menanggung subsidi bahan api.

“Bagaimanapun, penurunan harga minyak turut memberi kesan kepada hasil kerajaan menerusi dividen Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) serta cukai petroleum,” jelasnya. -UTUSAN

 

 

The post Keputusan OPEC+ tentukan hala tuju harga minyak Disember appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved