BNM pantau tekanan inflasi sebelum tentukan hala tuju OPR pada 2027

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 12:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BNM pantau tekanan inflasi sebelum tentukan hala tuju OPR pada 2027 Image from: BNM pantau tekanan inflasi sebelum tentukan hala tuju OPR pada 2027 sarah18/11/2026 - 12:57 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau perkembangan inflasi dan pertumbuhan ekonomi sebelum menentukan hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2027, tanpa memberikan sebarang petunjuk khusus mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah.

 

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sebarang keputusan mengenai OPR akan dibuat berdasarkan penilaian data ekonomi terkini bagi memastikan dasar monetari kekal selaras dengan prospek pertumbuhan dan kestabilan harga.

 

Ketika ditanya sama ada BNM akan mempertimbangkan kenaikan OPR pada 2027, beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan meneliti perkembangan ekonomi secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Menurutnya, antara faktor utama yang diperhatikan ialah sejauh mana kenaikan harga melibatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan, selain tempoh tekanan inflasi berterusan dalam ekonomi.

 

Inflasi dijangka meningkat tetapi kekal terkawal

Beliau berkata, ekonomi Malaysia ketika ini masih mencatatkan pertumbuhan yang berdaya tahan, manakala inflasi dijangka meningkat secara beransur-ansur tetapi kekal terkawal.

 

"BNM akan terus meneliti data berkaitan perkembangan harga, termasuk sama ada kenaikan harga menjadi lebih meluas dan berterusan, sebelum menentukan tindakan dasar monetari yang bersesuaian," katanya pada taklimat media mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku ketiga 2026, hari ini.

 

Abdul Rasheed berkata, perkembangan itu akan terus dipantau menjelang mesyuarat MPC akan datang serta mesyuarat berikutnya bagi memastikan dasar monetari menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

OPR kekal pada 2.75%

Sebagai latar belakang, BNM mengekalkan OPR pada 2.75% dalam keputusan dasar monetari terbaharunya, ketika ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran global.

 

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.5% pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0% pada suku sebelumnya, manakala pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.6%, disokong oleh pelaburan dan eksport yang kukuh serta permintaan domestik.

 

Bagaimanapun, Abdul Rasheed tidak menetapkan sebarang tempoh atau syarat khusus bagi perubahan OPR pada 2027, sebaliknya menegaskan bahawa keputusan akan bergantung kepada perkembangan inflasi dan pertumbuhan ekonomi semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved