'Keputusan sudah dibuat’ - Anthony kekal pendirian letak jawatan

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 6:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Keputusan sudah dibuat’ - Anthony kekal pendirian letak jawatan
Anthony Loke

HANGZHOU - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau kekal dengan pendiriannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatan itu sekembalinya ke tanah air dari China.

"Keputusan sudah dibuat, akan serahkan (surat peletakan jawatan) kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sekembalinya ke tanah air,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita setibanya di Hangzhou hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendiriannya sama ada akan meneruskan hasrat mengundurkan diri daripada Kabinet.

Anthony ketika ini mengiringi Perdana Menteri yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan kerajaan China.

Anthony sebelum ini mengumumkan akan meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Anthony mengumumkan hasrat meletak jawatan Kabinet selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lepas.

Perdana Menteri semasa bercakap kepada media Malaysia dalam perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou menaiki kereta api berkelajuan tinggi berharap Loke mempertimbangkan keputusan beliau itu dan tiada pihak menekan DAP supaya keluar Kerajaan Perpaduan.

Anwar juga berkata, beliau mengambil pendekatan untuk tidak terburu-buru dan gopoh dalam membuat keputusan berhubung hasrat Anthony. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved