
Kota Kinabalu: Keputusan terhadap surat representasi dalam kes seorang bapa, anak lelaki dan anak perempuan yang didakwa menipu Kerajaan Sabah dengan mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas dari perlombongan mineral berharga di Bukit Mantri, Tawau, sehingga menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta kepada Kerajaan Sabah, akan diketahui pada 24 April ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, menetapkan tarikh terbabit untuk Datuk Lo Fui Ming, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd; anak lelakinya, Lo Teck Yong, bekas pengarah syarikat sama; serta anak perempuannya, Lo Choon Fung, Pengarah Southsea Gold Sdn Bhd.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu susulan perkembangan terkini berkaitan penyerahan representasi oleh pihak pembelaan pada Rabu.
Peguam Zahir Shah, yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, mengesahkan bahawa satu lagi representasi telah dikemukakan kepada ketua bahagian undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tarikh sebutan sebelum ini.
Fui Ming, 69, dan Teck Yong, 43, didakwa menipu Kerajaan Sabah, iaitu Jabatan Tanah dan Ukur, dengan tidak melaporkan jumlah jongkong emas serta menjual emas itu secara haram kepada sebuah syarikat swasta, walaupun sedar ia menyebabkan kerugian kewangan kepada negeri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengemukakan dokumen palsu dengan menipu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur bagi mengisytiharkan butiran jualan yang tidak lengkap dalam projek perlombongan emas mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2019 dan 2023 di pejabat Jabatan Tanah dan Ukur, di sini.
Fui Ming menghadapi 24 pertuduhan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kerugian kepada pihak yang kepentingannya wajib dilindungi oleh tertuduh.
Sementara itu, Teck Yong menghadapi 24 pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam jenayah tersebut.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Fui Ming dan Choon Fung turut didakwa bersama atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya, didakwa menggunakan empat dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat di bawah nama Southsea Gold Sdn Bhd bertajuk “Unauthorised Occupation Of Southsea Gold Lease Land For Mining Operations” bertarikh 3 Mac 2020; 10 Disember 2020; 13 Oktober 2021; dan 3 Januari 2022, sedangkan mereka mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kesemua empat dokumen terbabit adalah palsu.
Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Jaminan mereka dilanjutkan sementara menunggu penyelesaian kes.
Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi, hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, yang melakukan pendakwaan.

