Kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif penambahbaikan Kadar Faedah Hilang Upaya (FHU) untuk golongan veteran Anggota Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan aspek kebajikan semua veteran ATM yang tercedera diambil berat.
Kerajaan ambil berat kebajikan veteran ATM
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat seramai 1,825 veteran hilang upaya seluruh Malaysia termasuk yang mengalami kecederaan ketika melaksanakan tugas aktif.
“Antara inisiatif tambah baik FHU adalah Peningkatan Pencen Hilang Upaya (PHU), Ganjaran Hilang Upaya (GHU), elaun pelajaran, Elaun Layanan Sentiasa (ELS) dan Sumbangan Dana Kempen Tabung Pahlawan.
“GHU adalah ganjaran RM6,000.00 hingga RM72,000.00 mengikut peratus kecederaan individu secara (one-off) kepada semua anggota yang cedera semasa tugas aktif. Elaun Pelajaran kepada anak penerima PHU pula dinaikkan daripada RM200 hingga RM685.
“Manakala ELS dinaikkan daripada RM440 kepada RM1,500 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Hi-Tea bersama 38 veteran ATM dari Zon Tengah anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV ATM) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Foto hiasan: Bernama
Difahamkan, 38 veteran tersebut mewakili 292 veteran yang mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi.
Sementara itu, Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan turut memperkenalkan inisatif Tabung Pahlawan, Program Kerjasama Strategik, Program Rumah Mesra Rakyat (RMR – JHEV ATM) dan Peruntukkan JHEV.
“Tabung Pahlawan berjaya mengumpul sebanyak RM1.3 juta untuk Tahun 2023/2024 dan RM1.08 juta untuk Tahun 2024/2025 setakat 14 Januari lalu.
“Program Kerjasama Strategik seperti pembiayaan ladang Kontrak-i bersama Agro Bank, Program iTekad Perwira-i bersama Affin Islamic Bank Berhad serta program Road To Franchise dan pembiayaan i-VIP bersama PERNAS juga dijangka akan memberi banyak kebaikan sosioekonomi kepada veteran.
“Selain itu melalui RMR – JHEV ATM, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyediakan subsidi sebanyak RM20,000.00 manakala baki kos pembinaan selebihnya adalah menggunakan peruntukan JHEV ATM, manakala Peruntukkan JHEV dinaikkan daripada RM226 juta kepada RM239 juta pada tahun 2025,” ujarnya.
The post Kerajaan Ambil Berat Kebajikan Veteran ATM, Laksana Inisiatif Tambah Baik FHU – Mohamed Khaled appeared first on Borak Daily.
