Kerajaan ambil langkah segera sedia peluang pekerjaan alternatif

LocalPolitics
26 May 2026 • 5:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan ambil langkah segera sedia peluang pekerjaan alternatif
Anwar

BUKIT MERTAJAM- Kerajaan sedang mengambil langkah segera bagi menyediakan peluang pekerjaan alternatif kepada golongan yang terkesan dengan kehilangan pekerjaan menerusi penyelarasan pelaburan baharu di beberapa negeri utama negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan tindakan susulan sedang dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, usaha berkenaan melibatkan penyediaan peluang pekerjaan baharu khususnya dalam sektor teknologi dan bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Dalam tempoh seminggu dua ini saya ambil langkah-langkah memperbaiki dan menyediakan pekerjaan alternatif.

“Sebab ada peluang pekerjaan baharu dan kita harus salurkan supaya ada sinergi di antara pelaburan baharu yang masuk terutama di Pantai Barat, Perak, Pulau Pinang, Kulim Hi-Tech, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya di Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Padang Homestay Mengkuang Titi, di sini pada Selasa.

Anwar menambah, kerajaan turut melihat perkembangan pelaburan baharu di Sarawak yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda.

“Dalam mungkin satu dua minggu ini akan ada satu acara lain untuk memulihkan dan menyediakan beberapa peluang pekerjaan baharu terutama bagi anak-anak muda,” katanya.

Mengulas bidang pekerjaan yang menjadi fokus ketika ini, Anwar berkata, sektor teknologi maklumat (IT) dan AI antara bidang yang mempunyai permintaan tinggi pada masa kini.

“Sekarang ini tentunya tentang IT, AI dan bidang baharu.

"Jadi kalau ada keperluan, kita berikan latihan khas untuk membolehkan anak-anak ini masuk ke jurusan bidang pekerjaan baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan situasi kehilangan pekerjaan ketika ini masih berada pada tahap terkawal dan belum membimbangkan.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika taklimat mengenai krisis bekalan global selepas mesyuarat MTEN berkata, seramai 7,057 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 kes pada Mac.

Akmal Nasrullah berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian walaupun jumlah berkenaan lebih rendah berbanding awal tahun ini.

Beliau menambah, jumlah kehilangan pekerjaan pada April masih lebih rendah berbanding 10,658 kes pada Januari dan 7,512 kes pada Februari namun peningkatan bulan ke bulan memerlukan pemantauan rapi.