Kerajaan Ambil Tindakan Terbaik Selamatkan Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Pemerdagangan Manusia

LocalPolitics
29 Sep 2022 • 8:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di beberapa negara ASEAN.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya menerima beberapa video menerusi laman media sosial TikTok mengenai aduan berkenaan kes pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia.

“Suka saya maklumkan bahawa kerajaan serius untuk menyelesaikan isu tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Jelas beliau, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan lalu.

Malah katanya, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diarahkan mengambil tindakan segera dan lebih agresif dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Saya telah menghantar video ini kepada Menteri Luar (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) untuk tindakan segera seterusnya,” katanya.

Ismail Sabri turut berkongsi tangkap layar video TikTok Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim, yang merayu kerajaan mengambil tindakan segera berhubung perkara berkenaan dalam hantaran tersebut.

Hishamuddin dalam video berdurasi 9.34 minit yang dikongsi melalui akaun TikToknya mendesak kerajaan supaya membantu kedutaan Malaysia terutama di Laos, Kemboja dan Myanmar membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di bawah sindiket pemerdagangan manusia.

Pada masa sama, beliau turut merayu kerajaan meluluskan peruntukan khas kepada ketiga-tiga kedutaan bagi membantu pengurusan logistik dan kakitangannya.

Katanya, ini termasuklah memastikan kakitangan mencukupi selepas ketiga-tiga kedutaan itu terpaksa bekerja 24 jam bagi menjejaki rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana. – Getaran, 29 September 2022