Kerajaan awalkan bayaran STR Fasa 2 bermula esok

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 9:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang dijadualkan pada April diawalkan kepada Selasa secara berperingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, langkah tersebut melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.3 bilion yang akan memanfaatkan lima juta penerima di seluruh negara.

"Kita nak sambut Aidilfitri, jadi kita awalkan kepada 10 Mac," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 15 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak akan dibayar pada 13 Mac.

“Ini termasuk pesara kerajaan dan veteran yang berpencen serta tidak berpencen yang turut menerima RM250 pada tarikh sama iaitu 13 Mac dan bantuan ini dikecualikan daripada cukai pendapatan,” jelas beliau.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran sumbangan khas sebanyak RM500 kepada 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut bagi menghargai khidmat mereka, seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2026.

Selain itu, beliau turut mengumumkan subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 bagi mengurangkan beban pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diperluaskan.

"Oleh kerana masih ada keluhan, jadi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu telah meluluskan perluasan bantuan subsidi FlySiswa daripada IPTA, kini ditambah lagi kepada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), universiti separa kerajaan (Government-Linked Universities), institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri serta Institut Perladangan dan Komoditi.

"Ini akan melibatkan dan memberi manfaat kepada 50,000 pelajar pada tahun 2026 berbanding 44,000 pada tahun lalu," katanya.