Kerajaan Bakal Lelong 40 Beg Tangan Mewah Hasil Penyelewengan 1MDB

9 Jun 2023 • 1:26 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa sebanyak 40 beg tangan mewah yang nilai keseluruhannnya ratusan ribu ringgit bakal dilelong. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, beg tangan itu antara harta hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang berjaya dilucuthak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor FMT.

Wang tunai serta wang dan faedah dalam beberapa akaun bank berjumlah kira-kira RM83 juta juga berjaya dilucuthak oleh pihak berkuasa.

“Wang berjumlah lebih kurang RM66.96 juta yang disita polis dimasukkan ke dalam akaun amanah khas Kementerian Kewangan manakala kira-kira RM16.06 juta yang disita SPRM dimasukkan ke dalam akaun hasil kerajaan.

“Sebanyak 40 buah beg tangan mewah yang telah dilucuthak masih dalam proses untuk dilelong,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Jawapan itu diberikan susulan dengan pertanyaan Lim berkenaan dengan aset-aset hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang dirampas pihak berkuasa.

Untuk rekod, pada Mei 2018, polis telah merampas 284 kotak mengandungi beg berjenama mewah dari sebuah apartmen di Pavilion Residences di Kuala Lumpur. Sebulan kemudian polis merampas kira-kira 40 beg mewah selepas menyerbu dua rumah.

Barangan yang dirampas dalam serbuan di enam kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Najib Razak dilaporkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.