KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu kelompok yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur dan lepasan diploma.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyedari keperluan mendesak untuk memperluas peluang pekerjaan kepada kumpulan berkenaan dalam keadaan krisis ekonomi lanjutan akibat perang di Asia Barat.
“Saya akan umumkan langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih daripada ruang pekerjaan termasuk siswazah menganggur dan lulusan diploma (dapat dibantu).
“Kita akan umumkan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar sempena Sesi Meja Bulat Bersama Institusi Kewangan yang turut dihadiri Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour di Sasana Kijang, BNM di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, kadar pengangguran negara setakat ini kekal 2.9 peratus dan disifatkan sebagai terbaik dalam tempoh 10 tahun.
“Kita tahu dalam keadaan menghadapi krisis ekonomi lanjutan akibat perang di Asia Barat, kita harus mengambil beberapa langkah baharu dan langkah siap siaga. Usaha ini dilakukan dengan mengambil kira keperluan mempertahankan kedudukan dan pertumbuhan ekonomi.
“Petanda makroekonomi negara itu sudah sangat baik. Sehingga menjelang suku pertama tahun ini, unjuran BNM bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga baik iaitu antara empat hingga lima peratus dalam keadaan negara mula merasai tempias ekonomi akibat krisis. Ini agak unik dan membanggakan berbanding negara lain,” ujarnya.
Malah, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan seperti yang diketahui umum, kedudukan dan kekuatan ringgit semakin baik berbanding negara Asia lain.
“Ini hasil bukan sahaja daripada aspek dasar tetapi juga pengurusan kewangan negara yang mampu meningkatkan keyakinan terhadap sistem kewangan negara,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun terdapat beberapa sektor yang masih terjejas, namun pertumbuhan sektor baharu dilihat semakin menyerlah.
“Kita akui beberapa sektor itu terhambat akibat pergolakan, tetapi terdapat juga sektor baharu yang menonjol termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pusat data serta kecerdasan buatan (AI).
“Saya maklumkan kepada rakan pengurusan bank tentang pengumuman baharu dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu mengenai pelaburan baharu dalam bidang E&E.
“Ini agak menarik kerana meskipun kita berdepan masalah, terdapat penyusutan dan kelemahan dalam beberapa sektor, namun ada pertumbuhan yang tidak dijangka serta berkembang baik, jadi kita harus melihat keseluruhannya,” jelasnya.






