Kerajaan belum ada persetujuan, komitmen beri bantuan kewangan kepada AirAsia - MOF

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan belum ada persetujuan, komitmen beri bantuan kewangan kepada AirAsia - MOF Image from: Kerajaan belum ada persetujuan, komitmen beri bantuan kewangan kepada AirAsia - MOF hamden20/10/2026 - 10:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Kerajaan belum membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam, meskipun syarikat penerbangan tambang rendah itu berdepan cabaran kewangan.

 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, sebarang permohonan sokongan kerajaan daripada syarikat dalam mana-mana sektor akan dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal kerajaan serta perlindungan dana awam.

 

Penilaian itu akan dibuat selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.

 

Menurut kementerian itu, kerajaan mengambil maklum isu yang dibangkitkan berhubung AirAsia, termasuk kerugian yang dilaporkan dalam keputusan kewangan suku tahunan terkininya.

 

AirAsia sebelum ini mengaitkan kerugian berkenaan terutamanya dengan kenaikan mendadak harga bahan api jet susulan perkembangan konflik di Asia Barat.

 

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan ekosistem penerbangan negara, termasuk kesan krisis Asia Barat, harga bahan api global dan pergerakan mata wang terhadap syarikat penerbangan serta ketersambungan udara bagi rakyat," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

 

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong [BN-Ayer Hitam] yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan sedang mempertimbangkan sebarang jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam kepada Kumpulan AirAsia.

 

Kementerian Kewangan berkata, kerajaan turut mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain dalam ekosistem penerbangan, selain mendapatkan pandangan daripada industri, pakar teknikal dan pihak berkepentingan lain.

 

Pendekatan sama turut dilaksanakan bagi sektor ekonomi lain yang terjejas akibat krisis Asia Barat.

 

MOF berkata kerajaan tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau angka yang dilaporkan media bagi mengelakkan kesan terhadap pasaran serta kepentingan pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan lain bagi syarikat terbabit.

 

AirAsia pemain penting dalam sektor penerbangan

MOF turut menegaskan peranan penting AirAsia dalam ekosistem penerbangan negara, khususnya dari segi pergerakan penumpang dan ketersambungan udara domestik.

 

Pada 2025, AirAsia Berhad menyumbang kira-kira 41% daripada 104.5 juta pergerakan penumpang yang direkodkan di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), selain hampir 60% daripada keseluruhan pergerakan penumpang domestik.

 

Di Sabah dan Sarawak, sebahagian besar ketersambungan udara bergantung kepada perkhidmatan AirAsia, dengan syarikat itu membawa masing-masing 62% dan 70% daripada jumlah penumpang di kedua-dua negeri berkenaan pada 2025, tidak termasuk lapangan terbang yang menyediakan perkhidmatan pesawat berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports).

 

Lapangan terbang yang mencatatkan bahagian penumpang AirAsia tertinggi di kedua-dua negeri itu ialah Sibu sebanyak 79%, Bintulu (77%), Sandakan (75%), Kuching (72%), Tawau (70%), Miri (63%) dan Kota Kinabalu (62%).

 

Di Semenanjung Malaysia, AirAsia turut mencatatkan bahagian penumpang yang tinggi di Johor sebanyak 70%, Terengganu (56%), Langkawi (56%), Alor Setar (49%) dan Kelantan (46%).

 

Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), AirAsia membawa tiga perempat daripada keseluruhan pergerakan penumpang.

 

MOF berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan sektor penerbangan dengan teliti, dengan kepentingan rakyat kekal sebagai keutamaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved