
KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya subsidi diesel diperluaskan kepada pengusaha feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi, susulan pengurangan kekerapan perjalanan akibat peningkatan kos operasi dan bahan api.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata, cadangan itu mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri berkenaan sebagai pengangkutan utama penduduk Pulau Banggi untuk berhubung dengan bandar Kudat bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial.
Menurutnya, KPDN bersama wakil rakyat Banggi dan agensi kerajaan berkaitan telah mengadakan sesi libat urus dengan dua syarikat pengendali feri bagi membincangkan isu pengurangan kekerapan perjalanan tersebut.
“Kedua-dua syarikat ini mengaitkan pengurangan perjalanan dengan peningkatan kos operasi, khususnya kos bahan api diesel.
“Justeru, cadangan subsidi diesel ini akan dikemukakan berdasarkan keperluan perkhidmatan feri di laluan itu yang lebih tertumpu kepada perhubungan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan,” katanya dalam sidang media sempena Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu (PPBP) di Pulau Banggi, di sini, Isnin.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, perkhidmatan feri itu amat penting bagi menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan Kudat untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta memperoleh bekalan keperluan harian.
Katanya, pertimbangan pemberian subsidi diesel itu diharap dapat membantu kedua-dua pengusaha feri meningkatkan semula kekerapan perjalanan, sekaligus memastikan kesinambungan perkhidmatan pengangkutan yang diperlukan penduduk.
“Bagaimanapun, perincian mekanisme pelaksanaan hanya akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, KPDN turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan kos sara hidup penduduk Pulau Banggi, termasuk PJRM dan PPBP.
Menurutnya, sebanyak 35 siri PJRM dilaksanakan di Pulau Banggi dari 1 Jan hingga 18 Okt tahun ini, berbanding 31 siri sepanjang tahun lalu.
“Manakala, PPBP di Pulau Banggi merangkumi 77 pusat jualan (point of sale) yang melibatkan tiga zon, iaitu Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api oleh KPDN turut merangkumi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan bantuan disalurkan kepada sektor pengangkutan serta kenderaan perniagaan yang layak.
Katanya, sehingga 18 Okt, sebanyak 17,703 syarikat melibatkan 38,659 kenderaan perdagangan di Sabah berdaftar di bawah SKDS, manakala 995 syarikat dengan 1,408 kenderaan berdaftar di bawah SKPS.
Secara keseluruhan katanya, sebanyak 205,167 syarikat melibatkan 514,111 kenderaan perdagangan berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara, manakala SKPS merekodkan 24,204 syarikat dengan 44,883 kenderaan.






