Kerajaan berdepan cabaran kecilkan defisit fiskal 2027, OCBC jangka 3.6%

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan berdepan cabaran kecilkan defisit fiskal 2027, OCBC jangka 3.6% Image from: Kerajaan berdepan cabaran kecilkan defisit fiskal 2027, OCBC jangka 3.6% liza25/09/2026 - 16:35

KUALA LUMPUR 25 Sept – Usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal pada 2027 dijangka berdepan cabaran dengan OCBC Group Research mengunjurkan defisit kekal pada 3.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Ahli Ekonomi Kanan ASEAN OCBC, Lavanya Venkateswaran berkata kerajaan dijangka mengumumkan sasaran defisit sebanyak 3.4% daripada KDNK ketika Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober depan.

 

Bagaimanapun, OCBC mengunjurkan defisit sebenar pada 2027 sebanyak 3.6%, sama seperti unjuran bagi 2026 dan lebih tinggi berbanding kira-kira 3.2% yang diunjurkan dalam Kerangka Fiskal Jangka Sederhana kerajaan.

 

Perbezaan antara sasaran kerajaan dan unjuran OCBC itu mencerminkan cabaran untuk mengecilkan jurang fiskal, terutama apabila perbelanjaan kerajaan kekal tinggi susulan subsidi dan bantuan kos sara hidup.

 

Perbelanjaan subsidi dijangka melebihi peruntukan

OCBC menjangka defisit fiskal Malaysia pada 2026 turut melebar sedikit daripada sasaran kerajaan sebanyak 3.5% disebabkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial yang lebih tinggi, meskipun kutipan cukai dijangka meningkat.

 

Bank itu menganggarkan perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial boleh mencecah RM80 bilion pada 2026, berbanding RM49 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan.

 

OCBC turut mengunjurkan bil subsidi bahan api mencecah RM37 bilion atau lebih sekiranya harga minyak dunia mencatat purata AS$100 setong, lapor Business Today.

 

Menurut OCBC, anggaran Kementerian Kewangan menunjukkan setiap kenaikan AS$1 harga minyak dunia akan meningkatkan hasil kerajaan kira-kira RM300 juta, tetapi pada masa sama menaikkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM400 juta hingga RM500 juta.

 

“Keadaan itu menyebabkan harga minyak yang kekal tinggi menjadi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan, walaupun Malaysia turut menerima manfaat daripada peningkatan hasil berkaitan petroleum,” katanya.

 

GST dijangka tidak dibentangkan dalam Belanjawan 2027

Bagi meningkatkan hasil kerajaan, OCBC menjangka kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kutipan cukai, pendigitalan serta kemungkinan pelarasan terhadap beberapa duti eksais, berbanding melaksanakan pembaharuan cukai secara besar-besaran.

 

OCBC juga tidak menjangka Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula dalam Belanjawan 2027.

 

Bagaimanapun, perubahan terhadap rangka kerja Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada masih berkemungkinan berlaku.

 

Selain itu, OCBC turut menjangkakan langkah rasionalisasi subsidi tambahan pada 2027 akan kekal terhad, dengan kerajaan dijangka memberi keutamaan kepada bantuan kos sara hidup, selain meneruskan pelaburan dalam projek pembangunan jangka sederhana.

 

Bagi 2027, OCBC mengunjurkan pertumbuhan hasil kerajaan sekitar 7%, pertumbuhan ekonomi sebenar sebanyak 4.8% dan inflasi keseluruhan purata pada 2.1%.

 

Secara berasingan, OCBC menjangka Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada 2.75% kepada 3% pada Januari 2027, didorong pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan serta tekanan harga yang semakin meningkat, dan bukan semata-mata disebabkan kelemahan fiskal. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved