
Tiada perbincangan rasmi mengenai projek kereta api merentas sempadan di Borneo
Kerajaan Brunei Nafi Penglibatan Dalam Projek Trans Borneo Railway. Kerajaan Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah menafikan sebarang penglibatan dalam cadangan pembinaan projek Kereta Api Rentas Borneo yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.
MTIC menjelaskan melalui satu kenyataan rasmi pada laman Facebook GOVBN pada Khamis bahawa kerajaan Brunei tidak pernah menawarkan atau melantik mana-mana syarikat tempatan mahupun luar negara untuk mengendalikan projek tersebut.

Brunei, Malaysia dan Indonesia perlu bersetuju untuk Projek Kereta Api Rentas Borneo
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenai perkara ini mahupun antara negeri-negeri dan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat.
Projek berskala besar merentasi tiga negara itu memerlukan persetujuan serta komitmen daripada kerajaan masing-masing terlebih dahulu.
Sebelum ini, sebuah syarikat swasta dari Brunei, Brunergy Utama mengumumkan cadangan Projek Kereta Api Rentas Borneo sepanjang 1,620km merentasi Brunei, Malaysia dan Indonesia menggunakan kereta api berkelajuan tinggi atau bullet train, yang merupakan pertama seumpamanya di rantau kepulauan ini.
