Kerajaan daftar batalion khas untuk misi pengaman di Gaza

LocalPolitics
15 Oct 2025 • 5:51 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah mendaftarkan satu batalion khas pasukan pengaman untuk digerakkan ke Gaza bagi membantu misi keamanan di wilayah bergolak itu, sebaik sahaja menerima mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kesediaan itu dinyatakan dalam mesyuarat menteri-menteri pertahanan negara yang mempunyai pasukan pengaman di bawah PBB, baru-baru ini.

image is not available

“Kita memang dah daftar satu batalion. Masa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang ada pasukan pengaman, kita nyatakan kesediaan Malaysia. Memang niat kita nak bantu di sana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035, di ibu negara, hari ini.

Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan simbolik penyerahan dokumen kerjasama antara PERHEBAT dan 44 agensi serta syarikat swasta, termasuk penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata Malaysia kini menunggu keputusan Majlis Keselamatan PBB berhubung penubuhan pasukan pengaman ke Gaza sebelum pelaksanaan misi dapat dimulakan.

image is not available

Beliau turut menjelaskan bahawa pasukan yang akan digerakkan bukan daripada kontinjen sedia ada di Lubnan, sebaliknya daripada batalion lain yang telah disiapkan sepenuhnya.

“Itu setiap tahun kita panggil balik. Jadi kita ada batalion lain,” jelasnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza susulan perjanjian pelan damai yang dimeterai di Mesir baru-baru ini.

Perkara itu dijangka dibincangkan di peringkat Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan PBB untuk keputusan muktamad. – Buletin TV3