
KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mengumumkan pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup dalam tempoh 24 jam.
Gesaan itu susulan penamatan subsidi siling ayam, telur serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam isian botol tiga kilogram dan lima kilogram (kg) mulai 1 Julai ini yang dijangka meningkatkan harga barangan asas berkenaan.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden PH berkata, kerajaan masih belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana dan garis masa pelaksanaan subsidi bersasar setakat ini, walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu harga siling serta subsidi tersebut dimansuhkan.
“Kami amat risau dengan perkembangan mutakhir isu kos sara hidup, terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) semalam mengenai perkara tersebut.
“Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik COVID-19, kehidupan mereka bakal bertambah parah apabila harga barang bakal meningkat,” katanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
Menurut kenyataan itu, tindakan menghapuskan harga siling ayam, telur dan subsidi minyak masak botol berkenaan bukan langkah proaktif mahupun bertanggungjawab.
“Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat berkali ganda.
“Ketua Pembangkang juga pernah menegur berkali-kali di Parlimen mengenai kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat dan mengambil tindakan tahun lalu,” katanya.
Malah katanya, sekiranya gagal mengemukakan pelan tersebut dalam tempoh ditetapkan, menteri bertanggungjawab berhubung isu kos sara hidup wajib meletak jawatan.
“Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan Menteri dalam menangani masalah kos sara hidup.
“PH juga akan mengambil beberapa tindakan, termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat,” katanya.
Semalam, Alexander memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam serta subsidi minyak masak tiga kilogram dan lima kilogram bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.
Beliau berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.
Tindakan itu, katanya, dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran lebih stabil bagi tempoh jangka panjang. – Getaran, 22 Jun 2022


