KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberikan penjelasan berhubung penggunaan undang-undang berkaitan kenyataan provokatif selain memastikan kebebasan bersuara rakyat terus terpelihara.
Aktivis, Rafidah Ibrahim berkata, tindakan dikenakan terhadap individu yang menyuarakan pandangan, termasuk di media sosial dilihat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, situasi itu seolah-olah memberi gambaran bahawa rakyat cuba ditakut-takutkan daripada terus menyuarakan pandangan mereka secara terbuka.
"Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini, apa-apa yang dilihat sebagai provokatif boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.
"Namun, terdapat kes sebelum ini melibatkan individu yang hanya memetik semula kenyataan pemimpin negara, tetapi tetap dikenakan tindakan, perkara ini dilihat tidak wajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media “Tutup Mulut = Bunuh Demokrasi” Solidariti Influencer dan Pencipta Kandungan Malaysia di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Sabtu.
Rafidah turut mempersoalkan pendirian kerajaan semasa menjadi pembangkang sebelum ini yang lantang menggesa pemansuhan atau pindaan undang-undang seperti Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Ketika menjadi pembangkang, mereka sangat tegas menuntut agar akta-akta ini dimansuhkan atau dipinda.
"Namun apabila berada dalam kerajaan, undang-undang yang sama digunakan secara tegas terhadap rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara, tertakluk kepada batasan tertentu termasuk isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
"Jika sesuatu kenyataan tidak menyentuh perkara melibatkan 3R, ia sepatutnya tidak disalah tafsir sehingga dikenakan tindakan undang-undang.
"Rakyat berhak menyuarakan pandangan terutama berkaitan isu semasa dan masalah yang dihadapi selagi ia tidak melanggar undang-undang," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa agar memberikan penjelasan yang lebih terperinci bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Rakyat Malaysia tidak seharusnya takut untuk bersuara, hak ini telah termaktub dalam Perlembagaan.
"Namun pada masa sama, kerajaan perlu mendengar suara rakyat dan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan," katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan yang sama akan dikenakan terhadap mana-mana pihak lain yang mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi, fitnah atau kata-kata kesat, tanpa mengira kecenderungan politik.
Katanya, keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara terus terpelihara.

