
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap institusi kerajaan serta membanteras rasuah tanpa memilih bulu termasuk melibatkan individu dalam lingkungan kuasa pentadbiran semasa.
Desakan itu disuarakan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 3.0 bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan anak muda menerusi Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 yang berlangsung di kompleks beli-belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Himpunan yang disertai kira-kira 50 peserta itu menyaksikan mereka berarak dari hadapan SOGO menuju ke Dataran Merdeka bagi menyuarakan lima tuntutan utama berkaitan reformasi institusi, integriti dan usaha membanteras rasuah.
Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan berkata, himpunan itu merupakan kesinambungan daripada penganjuran edisi 1.0 dan 2.0 tahun lalu susulan ketiadaan maklum balas konkrit daripada pihak berkuasa.
Selain, kayanya, diperluaskan bagi merangkumi perkembangan isu integriti semasa.
“Kerajaan boleh bertukar. Perdana Menteri boleh bertukar. Parti yang memegang kuasa boleh bertukar. Tetapi prinsip bahawa kuasa mesti dipertanggungjawabkan tidak boleh berubah.
“Jika kerajaan serius untuk membanteras rasuah, maka siasatan mesti dilakukan tanpa memilih bulu.
“Jika kerajaan serius mengenai reformasi institusi, maka reformasi tersebut mesti dilaksanakan, bukan sekadar dijanjikan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lima tuntutan utama dikemukakan, antaranya menarik balik bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan semakan kehakiman oleh Badan Peguam Malaysia serta menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah sementara menunggu keputusan mahkamah.
Katanya, gabungan ini turut menuntut pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, selain menghalang pesalah rasuah daripada memegang sebarang jawatan awam atau politik.
Selain itu, jelasnya, mereka menggesa semua individu yang terbabit dalam rasuah disiasat dan didakwa tanpa mengira latar belakang politik, termasuk mereka yang berada dalam lingkungan kuasa pentadbiran semasa.
“Antara tuntutan lain ialah mempercepatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik serta mewajibkan pengisytiharan harta secara berkala oleh ahli politik dan penjawat awam kanan, berserta mekanisme pemantauan.
“Kami juga menuntut penjelasan terbuka berhubung beberapa isu dan kes berprofil tinggi, termasuk dakwaan laporan Bloomberg membabitkan ‘mafia korporat’ serta isu pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki,” ujarnya.
Menurutnya, himpunan itu turut membangkitkan status perkembangan siasatan lanjut berhubung kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbicaraan kes Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Lim Guan Eng, selain isu tadbir urus membabitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“Kes berprofil tinggi tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penyelesaian muktamad sehingga menimbulkan persepsi bahawa kedudukan politik seseorang boleh mempengaruhi perjalanan proses keadilan,” katanya. – UTUSAN
The post Kerajaan didesak laksana reformasi banteras rasuah appeared first on Utusan Malaysia.



![‘Saya Tak Curi Duit Rakyat, Akan Terus Lawan Sakau’ – Anwar Kekal Komited Banteras Kes Rasuah Dalam Negara [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/FI-BuzzKini-8.jpg?t=1793952494)

