SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi penjelasan tuntas berhubung kontroversi Yayasan Madani dan pelaksanaan model perniagaan Madani Mart.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata, struktur perniagaan yang bertujuan membantu rakyat itu berpotensi mencetuskan isu dari sudut tadbir urus dan konflik kepentingan.
“Di bawah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), kerajaan membantu dari segi rantaian bekalan untuk menurunkan harga kepada pengguna.
“Tetapi di bawah Madani Mart, usahawan bukan sahaja perlu membuka premis sendiri, malah mereka juga perlu membayar yuran yang tinggi kepada Yayasan Madani sehingga mencecah RM420,000 untuk tempoh tiga tahun.
“Persoalannya, adakah inisiatif ini membantu rakyat atau skim pelesenan yang menguntungkan pihak tertentu?” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Siew Mun turut melahirkan kebimbangan mengenai kaitan Yayasan Madani dengan individu yang kononnya rapat dengan kepimpinan tertinggi negara, yang didakwa boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Katanya, entiti yang didakwa ‘bebas’ itu dilihat boleh beroperasi dalam ekosistem kerajaan selain mengenakan yuran yang tinggi kepada usahawan.
“Usahawan yang menyertai Madani Mart juga dilihat tidak mempunyai kebebasan dalam rantaian bekalan apabila mereka hanya boleh mendapatkan stok daripada satu sumber sahaja iaitu Yayasan Madani.
“Ini bukan lagi soal membantu peniaga kecil, sebaliknya soal kawalan pasaran. Apabila satu entiti mengawal lesen, bekalan dan struktur operasi, kita tidak boleh lagi menutup mata dan menyebutnya sebagai inisiatif rakyat,” ujarnya lagi.
Jelas beliau, keadaan itu berpotensi mewujudkan monopoli terselindung.
“Maka, beberapa persoalan asas mesti dijawab, ke manakah perginya semua yuran yang dikutip? Adakah ia diaudit secara telus? Siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada model ini, rakyat atau pihak tertentu dalam ekosistem kuasa?
“Dan yang lebih penting, bagaimanakah individu yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan boleh dikaitkan secara langsung dengan struktur perniagaan seperti ini?” soalnya.
Siew Mun berkata, isu berkenaan melangkaui soal pelaksanaan satu projek semata-mata, sebaliknya menyentuh prinsip ketelusan dan reformasi yang menjadi asas pentadbiran kerajaan ketika ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh berdiam diri dalam isu ini. Penjelasan mesti diberikan bukan sekadar kepada media tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Jika kerajaan benar-benar komited kepada ketelusan dan reformasi, maka isu seperti ini tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa jawapan,” katanya lagi.

