Kerajaan Dijangka Mengusulkan Penubuhan Suruhanjaya Data Untuk Menguatkan Lagi Polisi Data Negara

TechnologyDigital
29 Jul 2024 • 6:09 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dengan fokus terhadap membawa masuk pelaburan daripada syarikat-syarikat teknologi gergasi global seperti Google, Microsoft, Meta ByteDance dan sebagainya, Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini hadir dengan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Data untuk membolehkan pihak kerajaan memperkenalkan kerangka dan polisi data kebangsaan baru yang lebih menyeluruh.

Kementerian Digital dilaporkan merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 pada bulan Mac 2025 untuk membolehkan pembangunan suruhanjaya baru ini bukan sahaja untuk mengetatkan lagi perlindungan data rakyat, tetapi juga untuk memacu pertumbuhan pusat data di negara ini.

Menurut Gobind, pihak kerja sedia maklum bahawa penularan teknologi kecerdasan buatan adalah berkadar terus dengan pembangunan pusat data, dan dengan pelaburan yang dimasukkan oleh syarikat-syarikat seperti Amazon, Google dan Microsoft adalah penting untuk memastikan negara kekal relevan dalam industri ini.

Beliau mengatakan lagi bahawa buat masa ini, Malaysia sudahpun mempunyai seorang Pesuruhjaya Data dan juga jawatankuasanya sendiri. Selari dengan ini, pembangunan sebuah Suruhanjaya Data yang boleh bertanggungjawab menyelia data rakyat disamping memastikan bahawa syarikat-syarikat teknologi global boleh bertapak di Malaysia tanpa begitu banyak masalah.

Disamping itu, Gobind Singh Deo juga dilihat merasmikan pemeteraian perjanjian diantara Digital Nasional Berhad dan juga CyberSecurity Malaysia untuk memastikan rangkaian 5G Malaysia kekal selamat.