Kerajaan diminta selesai isu setempat Sabah, Sarawak

2 Mar 2023 • 1:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Permasalahan yang timbul di Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan pembangunan, pendidikan, kesihatan, dan kesalinghubungan antara perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Rabu.

Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) berkata Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah drastik dan tepat untuk merapatkan jurang pembangunan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air serta jaringan jalan raya antara Sabah dan negeri lain.

Beliau berkata ia terutamanya di daerah-daerah yang miskin kerana kemudahan itu boleh meningkatkan tahap ekonomi rakyat selain menarik minat pelabur ke Negeri di Bawah Bayu itu.

“Saya yakin sekiranya kerajaan berjaya membantu daerah miskin seperti Kota Marudu mengatasi masalah ini, Insya-Allah ia akan membantu usaha kerajaan menitik noktahkan kewujudan miskin tegar,” katanya.

Berhubung isu kesihatan, Wetrom menarik perhatian Dewan Rakyat apabila memberitahu bahawa terdapat mereka yang kehilangan ahli keluarga, mengadu apabila mayat terpaksa dihantar ke hospital yang jauh seperti di Kudat dan Pitas, kerana peti sejuk tempat menyimpan mayat di Hospital Kota Marudu rosak.

Isu fasiliti kesihatan turut dibangkitkan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang berpendapat sudah masanya KKM melihat semula keadaan Hospital Serian yang disifatkan agak daif dan sempit.

Beliau berkata terdapat juga klinik-klinik, seperti di kawasan Serian yang masih dalam keadaan semi konkrit, bertangga hingga menyebabkan kesukaran kepada pesakit.

Menyentuh mengenai pendidikan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menggesa kerajaan agar menimbang pembinaan universiti di Sabah bagi mengurangkan beban rakyat negeri itu yang ingin melanjutkan pelajaran tanpa perlu berhijrah jauh dari kawasan tempat tinggal.

Beliau berkata ia berikutan hanya sebuah institut pengajian tinggi (IPT) yang terdapat di Negeri di Bawah Bayu itu, iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan perkara itu membimbangkan ibu bapa apabila terpaksa menghantar anak ke negeri lain kerana membabitkan kos yang tinggi.

“Kalau ada universiti di Tawau atau Keningau, ini akan dapat membantu anak-anak kita, bukan hanya mengelakkan mereka berjauhan dari keluarga, tetapi juga mengurangkan kos perbelanjaan yang ada segelintir tidak mampu untuk melanjutkan pengajian di IPT,” katanya

Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) pula meminta Kerajaan Perpaduan melaksanakan projek memperbaiki jalan balak di kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah termasuk kawasan Parlimen diwakilinya.

“Tidak dapat bina (jalan) baharu pun tidak mengapa tetapi kita memohon supaya laluan balak di kawasan Baram serta luar bandar yang lain dapat diperbaiki agar dapat digunakan supaya perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar ini terus dihubungi.

“Dapatlah orang sakit, orang tua dan semua (penduduk luar bandar) pergi ke pusat bandar untuk mendapatkan segala perkhidmatan kerajaan yang ada (di bandar),” katanya.

Selain itu, beliau berkata liputan rangkaian internet di kawasan pedalaman juga perlu diteliti pihak kementerian berkaitan memandangkan infrastruktur kesalinghubungan yang ada ketika ini tidak boleh diakses oleh penduduk setempat.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.