Kerajaan disaran perkenal garis panduan untuk BDR - UNI-MLC

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 6:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kenyataan UNI-MLC pada Jumaat. Gambar kecil Mohd Effendy

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkenalkan garis panduan nasional berkaitan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dan menggalakkan kemasukan klausa khusus dalam Perjanjian Kolektif bagi memperincikan hak, tanggungjawab serta perlindungan pekerja.

Setiausaha Agung Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara adil, telus dan melalui rundingan bersama bagi memastikan kepentingan pekerja terus terpelihara.

“Pelaksanaan BDR tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan risiko dan kos operasi kepada pekerja atau melemahkan perlindungan sedia ada serta pengurangan pendapatan.

“Pendekatan kerja anjal merupakan satu langkah progresif ke hadapan. Namun, ia mesti dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan hak pekerja, sebaliknya memperkukuh kesejahteraan dan produktiviti secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Ujar Mohd Effendy, beberapa perkara utama perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan tersebut termasuk skop pekerjaan sesuai, penetapan waktu kerja yang jelas dan perlindungan terhadap hak pekerja untuk tidak diganggu di luar waktu kerja.

“Aspek yang boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja perlu diberi perhatian serius. Ini termasuk risiko beban kerja berlebihan, tekanan untuk sentiasa responsif di luar waktu kerja, kekaburan sempadan antara kehidupan kerja dan peribadi, serta pengasingan sosial yang boleh membawa kepada keletihan emosi.

“Dalam konteks ini, majikan perlu memastikan pengurusan kerja yang munasabah dan beretika, selaras dengan prinsip kesejahteraan pekerja.

“Selain itu, pekerja juga perlu dibekalkan dengan peralatan kerja yang sesuai dan mencukupi bagi melaksanakan WFH dengan berkesan,” ujarnya.

Menurut Mohd Effendy, pekerja juga perlu dibekalkan dengan peralatan kerja yang sesuai dan mencukupi bagi melaksanakan WFH dengan berkesan.

Kata beliau, sebarang penjimatan kos oleh majikan tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada pekerja, khususnya berkaitan kos utiliti seperti elektrik dan internet yang digunakan bagi tujuan kerja dari rumah.

“Dari sudut perundangan, sebarang perubahan kepada struktur atau kaedah kerja perlu melalui proses rundingan bersama selaras dengan prinsip di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

“Pelaksanaan secara unilateral tanpa perundingan boleh menimbulkan pertikaian industri dan menjejaskan keharmonian hubungan perusahaan.

“Dalam masa yang sama, elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) perlu diberi perhatian serius sebagai keutamaan utama,” kata beliau.