IPOH - Kemasukan semula bekas ahli ke dalam UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa perlu disertai garis panduan yang jelas bagi mengelakkan sebarang salah faham atau konflik di peringkat akar umbi.
Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, walaupun langkah membuka ruang kepada bekas ahli kembali menyertai parti dilihat sebagai pendekatan positif, proses tersebut wajar diselaraskan dengan mekanisme tertentu.
Menurutnya, matlamat utama inisiatif berkenaan bukan sekadar membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali, sebaliknya memastikan langkah itu mampu memperkukuh parti secara keseluruhan dan bukan menimbulkan luka lama.
"Saya yakin Jawatankuasa Rumah Bangsa mempunyai mekanisme tertentu dalam menilai kemasukan semula bekas ahli.
"Dalam masa sama, sentimen kepimpinan dan ahli di peringkat bahagian serta cawangan juga perlu diambil kira memandangkan mereka lebih memahami realiti politik setempat," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, UMNO perlu belajar daripada pengalaman lalu dan tidak boleh terlalu naif sehingga mengulangi kesilapan yang sama.
“UMNO ini ibarat sebuah rumah besar orang Melayu. Ada kalanya ada yang keluar dari rumah ini kerana merasakan ia tidak lagi memberi manfaat kepada mereka.
“Namun pintu rumah UMNO sentiasa terbuka, asalkan mereka yang mahu kembali benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada parti dan tidak meletakkan kepentingan peribadi sebagai keutamaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Sollehin menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa yang diumumkan kepimpinan parti sebagai langkah tepat pada masanya bagi menyatukan kembali kekuatan UMNO.
Katanya, parti itu sebelum ini melalui beberapa episod perpecahan sama ada secara dalaman mahupun apabila ada pimpinan dan ahli yang memilih meninggalkan parti.
“Jika usaha ini dapat direalisasikan dengan baik, ia berpotensi menjadi titik perubahan kepada penyatuan semula pimpinan dan blok pengundi Melayu, khususnya di Perak.
“Realitinya, UMNO Perak sebelum ini berhadapan defisit sokongan di kawasan majoriti Melayu. Oleh itu, usaha menyatukan kembali kekuatan orang Melayu dan penyokong tradisi UMNO adalah sesuatu yang sangat penting menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

