Kerajaan, GLIC labur RM1 bilion dana tambahan sokong syarikat pemula tempatan

Business & Finance
27 Jul 2023 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi.

Menurut beliau, ia merupakan antara perancangan kerajaan masa hadapan susulan pencapaian negara menduduki tangga ke-20 dunia berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia mencecah AS$46 billion bagi tempoh separuh pertama 2020 sehingga 2022.

"Kedua, memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

"Ketiga ialah memperuntukkan tambahan RM100 juta bagi mempergiatkan ekosistem R&D&C&I (penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi) dengan tumpuan kepada keperluan industri, tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan serta aktiviti pertumbuhan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.

Ujarnya, perancangan itu juga sebahagian daripada usaha untuk mencapai Perbelanjaan Domestik Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sebanyak 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 dan meningkatkan kedudukan kepada 20 teratas dalam Global Innovation Index (GII) menjelang 2025.

Selain itu, menurutnya, geran padanan digitalisasi juga akan ditambah sebanyak RM100 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.

"Untuk memacu reformasi ekonomi digital, pelaksanaan Digital ID akan disegerakan bagi mengembangkan perniagaan dalam talian dan aplikasi berkaitan," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: