
SOOK: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH Plus telah melaksanakan banyak inisiatif pembangunan dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan rakyat, namun pembangkang tetap enggan mengakuinya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, inisiatif-inisiatif itu telah pun dilaksanakan dan sudah memberi manfaat kepada rakyat, namun pembangkang terus memperbesarkan isu “tiada kemajuan”.
“Dakwaan oleh pembangkang kononnya kerajaan GRS-PH Plus tidak membawa apa-apa pembangunan di negeri ini, adalah tidak betul,” katanya pada Majlis Pelancaran Naik Taraf Daerah Penuh Sook di Pekarangan Bangunan Urusetia Daerah Sook, Keningau, pada Isnin.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Itu adalah dakyah mereka yang sentiasa mahu menafikan setiap kejayaan yang dibawa oleh kerajaan.
“Namun kita tidak berdiam diri, sebaliknya terus bekerja untuk pembangunan negeri dan rakyat. Pelbagai inisiatif bantuan diberi kepada rakyat, khususnya kepada anak-anak dalam kalangan keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Antara bantuan itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (Budi) dan Bantuan Tunai Khas Peperiksaan (Bakti), Bantuan Ihsan Komputer (Baik) selain bantuan subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah (GRS-Subfly) sebanyak RM600 kepada pelajar yang belajar di Semenanjung dan Sarawak serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (Sentosa) sebanyak RM300.
“Ini adalah sebahagian daripada kira-kira 13 inisiatif dalam Bantuan Pendidikan Kerajaan Negeri kepada para pelajar yang layak di negeri ini,” tambahnya.
Hajiji berkata, inisiatif lain termasuk pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra SMJ di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kos sebanyak RM250 juta. Bantuan terbaharu yang diberikan kerajaan negeri mulai tahun ini ialah Program
Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar layak menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun.
Menyentuh isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang sering dijadikan bahan oleh pembangkang, beliau berkata, kerajaan menerima masalah yang diwarisi, namun sentiasa berusaha untuk menangani dan menyelesaikan masalah berkenaan.
Justeru katanya, sebanyak 13 projek pembangunan bekalan air berimpak tinggi telah dan sedang dilaksanakan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.
Antaranya ialah Skim Bekalan Air Tawau Fasa 3, Pembinaan Loji Rawatan Air Kundasang, Pembinaan Loji Rawatan Air Baru Semporna, Skim Bekalan Air di Lahad Datu Fasa 1 dan Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II.
“Sementara itu, projek penambahan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di Papar, melibatkan kerja-kerja menaik taraf kapasiti daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH, yang dijangka siap pada 2026,” katanya.
Mengenai masalah bekalan elektrik, Hajiji berkata, pelbagai usaha dibuat termasuk melaksanakan Projek Hidroelektrik Ulu Padas yang bakal menjana tenaga elektrik sebanyak 187.5 megawatt (MW) dan Majlis Tenaga Sabah juga telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dijana melalui beberapa projek penjanaan elektrik bagi meningkatkan keperluan tenaga di negeri ini.
“Projek berkenaan bukan saja untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di Sabah, tetapi ia adalah antara usaha penyelesaian jangka panjang yang mampan kepada negeri ini,” tambahnya.
Hajiji berkata, lebih banyak lagi pembangunan akan dibawa ke negeri ini dan baru-baru ini beliau dimaklumkan bahawa sebanyak empat daripada 16 pakej Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah disiapkan, dan baki 12 pakej lagi sedang dalam pembinaan, dengan status kemajuan sebanyak 81.7 peratus siap.
“Semua ini adalah antara inisiatif-inisiatif yang telah dan sedang kita laksanakan. Apa yang kita bawa ini tidak pernah dibuat sebelum ini. Lebih banyak lagi pembangunan yang akan dibawa ke negeri ini untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jika kita diberi mandat lagi,” tegasnya.


