Kerajaan Hapus Pengkelasan B40, M40, T20 Mulai Tahun Depan

14 Jun 2023 • 10:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Mulai tahun depan, kerajaan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 dalam kalangan rakyat secara berperingkat.

Mengumumkan keputusan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh.

Katanya, beberapa inisiatif atau dasar dilaksanakan kerajaan ketika ini, berbeza berbanding pendekatan pentadbiran terdahulu, termasuk berkaitan bantuan atau subsidi.

“Kerajaan Perpaduan perlu memastikan semua infrastruktur sedia ada dan perlu melakukan ujian perintis, sebelum memutuskan berapa tahap pendapatan layak diberi bantuan,” katanya seperti dilaporkan BH.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan cuba meminimumkan kesilapan pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji, namun ia perlu dijalankan secara berperingkat.

Rafizi berkata, di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), kerajaan sudah mula berbincang mengenai perkara berkenaan.

“Di peringkat MTEN, kita sudah mula bincang mengenai simulasi, siapa patut dapat apa, apakah pendekatan akan diberikan, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.

“Kita akan melaksanakan satu demi satu bantuan sosial yang disepadu berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

“Ia mampu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (PADU), sekali gus memastikan keberkesanan pelaksanaan program subsidi kerajaan,” katanya.

Pada Mei lalu, kerajaan mengumumkan akan mula melaksanakan peralihan dasar sosioekonomi daripada pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20.

Dasar sosioekonomi itu akan dilakukan peralihan kepada berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, bermula Januari 2024. – Getaran, 14 Jun 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved