
Mulai 2024 Pengkelasan B40, M40, T20 Dihapuskan – Rafizi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan kerajaan pada ketika ini sedang mengusahakan dan mengambil pendekatan mengenai beberapa perkara yang membabitkan bantuan atau subsidi termasuk menghapuskan pengkelasan kategori gaji mulai 2024, lapor Awani.
Beliau berkata pendekatan yang diambil adalah berbeza dengan pentadbiran terdahulu di mana semua infrastruktur tersedia akan dilakukan ujian perintis sebelum memutuskan tahap pendapatan yang layak diberikan bantuan.
Tambahnya, kerajaan secara berperingkat sedang meminimumkan ralat pengecualian subsidi yang berlaku akibat pengkelasan kategori gaji.
“Di peringkat kerajaan, di pihak Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) contohnya, minggu ini kita sudah mula bincang simulasi, siapa yang patut dapat apa, apakah pendekatan yang akan diberikan, adakah bantuan anak sejagat, adakah akan diberi penambahan nilai pendapatan dan sebagainya.
“Semua sudah dibincangkan. Saya rasa tahun depan anda akan melihat peralihan daripada subsidi blanket dan pengkelasan T20, B40, M40, perlahan-lahan akan dihapuskan.
“Kami akan melancarkan satu demi satu, bantuan sosial yang disepadukan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata pelaksanaan program subsidi kerajaan akan berkesan selepas ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi menerusi perkongsian dalam Pangkalan Data Utama (Padu).
Sebelum ini, ahli Parlimen Pandan itu mengumumkan kerajaan akan mula melakukan beberapa perubahan pada sosioekonomi daripada pendapatan B40, M40 dan T20, bermula pada Januari 2024.
Perkara itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pada Rabu.
Inisiatif IPR
Dalam perkembangan lain, Rafizi juga memaklumkan kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan mempunyai perancangan memperluaskan inisiatif IPR ke fasiliti perubatan awam.
Beliau turut yakin bahawa inisiatif yang menyasarkan 5,000 mesin IPR yang layak diterima pemohon akan tercapai menjelang hujung tahun ini.
“Permintaan kepada makanan siap berharga rendah paling tinggi di tempat tumpuan orang ramai seperti kampus dan hospital.
“Saya berterima kasih kepada PPUM kerana bekerjasama untuk menyaring dan memilih dalam kalangan kakitangan sendiri yang memenuhi kriteria untuk menjalankan inisiatif ini.
“Ini peluang tambahan bagi mereka meningkat pendapatan bulanan dan model ini kita akan perluas ke hospital lain dengan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya lagi.
Sumber: Awani
The post Mulai 2024 Pengkelasan B40, M40, T20 Dihapuskan – Rafizi appeared first on Siakap Keli.


