
KUALA LUMPUR - Kerajaan menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang dilontarkan pengundi di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, pengundi menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti samada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri.
“Alhamdulillah, dalam tiga tahun yang lalu, kami berusaha merungkai setiap isu yang diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak yang menyentuh kepentingan Sabah.
“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tahniah saya ucapkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan Kerajaan Negeri,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan Madani akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini sebagai usaha dan upaya melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
Suara rakyat Sabah, katanya, adalah amanah yang mesti dijunjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi.
Hajiji, dilantik semula sebagai Ketua Menteri Sabah di Istana Seri Kinabalu pada 3.05 pagi tadi, sekali gus menandakan permulaan penggal baharu beliau dalam memimpin negeri itu.
Pelantikan Hajiji, yang merupakan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus mengukuhkan kedudukan parti itu sebagai gabungan terbesar pada pilihan raya kali ini dengan memperoleh 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri Sabah ialah memperoleh 37 daripada 73 kerusi DUN.
GRS bertanding sebanyak 55 kerusi DUN termasuk Hajiji yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sulaman buat kali kesembilan, dengan majoriti 8,919 undi pada pilihan raya kali ini. - 30 November, 2025
The post Kerajaan hormati mesej tegas, jelas rakyat Sabah: PM appeared first on Scoop.
