
KUALA LUMPUR – Kerajaan merekodkan hampir RM5 bilion sekatan perbelanjaan mengurus (OE) setakat 14 Julai lalu hasil pelaksanaan langkah kawalan perbelanjaan merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, kerajaan berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal.
Langkah berkenaan kata beliau, dilaksanakan berdasarkan arahan pelarasan peruntukan berjumlah RM10 bilion bagi OE 2026 oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 29 April lalu.
“Pelarasan perbelanjaan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal antaranya termasuk menangguh, mengecilkan skala majlis rasmi kerajaan, persidangan, mengehadkan perjalanan tugas rasmi dengan bilangan pegawai yang minima.
“Pelaksanaan mesyuarat dilakukan dalam talian, menangguhkan pewujudan perjawatan baharu serta pengambilan penjawat awam baharu kecuali jawatan kritikal sektor pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil negara dengan kawalan ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam serta MOF,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail berhubung penjimatan bajet semua kementerian, jumlah peruntukan dipotong dan kajian impak yang dilaksanakan ke atas pemotongan berkenaan.
Mengulas lanjut Chin Tong berkata, sekatan perbelanjaan mengurus umumnya tidak melibatkan program-program teras di setiap kementerian.
“Peruntukan bagi sektor-sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan, kebajikan rakyat dan pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi terus diberi keutamaan.
“Sekatan ini adalah bersifat sementara dan sebarang pengagihan semula peruntukan akan dipertimbangkan semula apabila kedudukan fiskal negara kembali stabil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan jimat RM5 bilion hasil kawalan perbelanjaan kementerian, agensi appeared first on Kosmo Digital.






