Kerajaan Kaji Cadangan Kerja Dari Rumah Untuk Penjawat Awam

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 6:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk membenarkan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dalam sektor awam, dan perkara itu berkemungkinan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan menyedari bahawa beberapa syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid selepas pandemik dengan memperkenalkan pengaturan WFH.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah dalam sektor awam akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Di pihak kerajaan, kita akan meneliti kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah ini dan perkara ini mungkin akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas esok.

“Pertama sekali, kita akan melihat keadaan ekonomi global. Kita akan meneliti angka-angka berkaitan serta langkah yang perlu diambil oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas langkah Thailand yang melaksanakan pengaturan WFH bagi agensi kerajaan dan perusahaan milik negara bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.

Mengulas mengenai mesyuarat khas Kabinet itu, Fahmi berkata ia diadakan bagi meneliti tindakan yang perlu diselaraskan berdasarkan maklumat ekonomi terkini.

Menurutnya, antara perkara yang akan diperhalusi termasuk perkembangan harga minyak mentah, harga bahan api penerbangan serta beberapa indikator ekonomi lain.

“Dengan maklumat terkini ini, kita akan dapat menyelaraskan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan termasuk mengawal dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan akan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus mendapat sokongan kerana sektor itu merupakan nadi kepada ekonomi negara, termasuk yang terlibat dalam eksport serta pengeluaran perkhidmatan dan barangan tempatan.

Fahmi berkata sebarang langkah kerajaan, termasuk usaha menyokong PMKS, akan diputuskan selepas mengambil kira keadaan ekonomi negara secara keseluruhan.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan tanpa mengetahui kesan tindakan tersebut. Kita juga tidak mahu langkah yang diambil menghalang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bekalan barangan asas dan bahan api seperti RON95 petrol ketika ini adalah mencukupi dan negara tidak berdepan sebarang masalah. - Getaran, 12 Mac 2026