Kerajaan kaji keperluan bina sehingga 30,000 pengecas EV awam menjelang 2030

LocalCars
24 Jul 2026 • 10:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan kaji keperluan bina sehingga 30,000 pengecas EV awam menjelang 2030 Image from: Kerajaan kaji keperluan bina sehingga 30,000 pengecas EV awam menjelang 2030 johardy24/07/2026 - 10:01 Setakat 31 Mei 2026 menurut MITI, Malaysia mempunyai sebanyak 6,416 unit pengecas EV awam yang telah beroperasi. - Gambar hiasan Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Julai – Kerajaan sedang menilai keperluan membangunkan sehingga 30,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) awam menjelang 2030 bagi memastikan rangkaian pengecasan negara berkembang seiring pertumbuhan pesat pasaran EV.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, penilaian itu dibuat dengan mengambil kira unjuran peningkatan penggunaan EV, kapasiti grid elektrik negara serta kesiapsiagaan keseluruhan ekosistem.

 

Penjelasan itu diberikan dalam jawapan bertulis MITI kepada pertanyaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan di Dewan Negara pada Khamis mengenai langkah kerajaan memperkukuh infrastruktur pengecasan EV bagi menyokong pertumbuhan industri kenderaan elektrik negara.

 

Setakat 31 Mei 2026 menurut MITI, Malaysia mempunyai sebanyak 6,416 unit pengecas EV awam yang telah beroperasi, terdiri daripada 2,143 unit pengecas arus terus (DC) dan 4,273 unit pengecas arus ulang alik (AC).

 

Dalam tempoh sama, sebanyak 25,523 unit Battery Electric Vehicle (BEV) didaftarkan pada tahun ini, menjadikan jumlah terkumpul pendaftaran sejak 2018 melebihi 105,000 unit. Berdasarkan jumlah itu, nisbah semasa ialah sekitar 16 buah EV bagi setiap satu unit pengecas awam.

 

Tidak dijadikan syarat mandatori

MITI berkata, kerajaan sedang memperhalusi pendekatan pembangunan infrastruktur pengecasan yang lebih menyeluruh bagi memastikan rangkaian mampu memenuhi peningkatan permintaan, terutama pada musim perayaan dan waktu puncak.

 

Bagi menyokong usaha itu, kerajaan akan terus memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi kerajaan, syarikat utiliti, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri bagi mempercepat kelulusan projek, penyediaan bekalan elektrik serta akses kepada tapak.

 

Bagaimanapun, kerajaan tidak menetapkan penyediaan kemudahan pengecas EV sebagai syarat mandatori kepada syarikat pemasang kenderaan elektrik untuk melayakkan mereka menerima insentif.

 

Menurut MITI, pembangunan ekosistem EV merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan pengeluar kenderaan (OEM), pengendali titik pengecasan (CPO), syarikat utiliti, penyedia teknologi, pemilik premis dan agensi kerajaan.

 

Kerajaan bagaimanapun menganggap OEM sebagai rakan strategik penting dan sedang memperhalusi pendekatan bagi meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan infrastruktur pengecasan, termasuk di rangkaian pusat jualan, pusat servis dan fasiliti pemasangan.

 

Pendekatan itu bertujuan memastikan pelaburan dalam sektor EV bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran dan penggunaan kenderaan elektrik, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem sokongan yang lebih komprehensif, mampan dan berdaya saing. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved