Kabinet batalkan caruman wajib Lindung 24 Jam PERKESO selepas terima maklum balas awam

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 9:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kabinet batalkan caruman wajib Lindung 24 Jam PERKESO selepas terima maklum balas awam Image from: Kabinet batalkan caruman wajib Lindung 24 Jam PERKESO selepas terima maklum balas awam johardy09/07/2026 - 09:41 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kerajaan membatalkan keperluan caruman mandatori bagi skim baharu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu Lindung 24 Jam yang melindungi pekerja daripada kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, sebaliknya menetapkan penyertaan dalam skim itu secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai berhubung pelaksanaan skim berkenaan.

 

Namun, caruman bagi skim Lindung 24 Jam kekal diwajibkan untuk pekerja asing dan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dalam satu kenyataan hari ini.

 

Diperkenalkan PERKESO bulan lalu, Lindung 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja menyediakan perlindungan sepanjang masa kepada pekerja yang layak sepanjang tempoh pekerjaan, termasuk kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja dan tidak berkaitan dengan tugas mereka.

 

Skim berkenaan menyediakan manfaat perlindungan kemalangan 24 jam serta kos rawatan perubatan yang ditanggung oleh PERKESO.

 

Di bawah cadangan asal, caruman skim itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada kadar 0.75% daripada gaji bagi tempoh dua tahun pertama, meningkat kepada 1% bagi tiga tahun berikutnya dan 1.25% mulai tahun keenam dan seterusnya.

 

PERKESO bayar lebih RM1.2 juta manfaat dalam tempoh sebulan

Pada 1 Julai lalu, Bernama melaporkan PERKESO telah membayar lebih RM1.2 juta manfaat di bawah skim itu dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaannya, susulan penerimaan 592 tuntutan.

 

Daripada jumlah pembayaran itu, sebanyak RM1.16 juta adalah bagi kos implan, manakala manfaat hilang upaya sementara berjumlah RM99,269.

 

Pelaksanaan peluasan perlindungan keselamatan sosial oleh PERKESO turut merangkumi pembayaran manfaat hilang upaya sementara, iaitu bayaran kepada pencarum ketika menjalani cuti sakit dan tidak dapat bekerja.

 

Selain itu, perlindungan berkenaan turut meliputi kos rawatan perubatan dan pembedahan, perbelanjaan implan, manfaat hilang upaya kekal berdasarkan penilaian panel doktor, manfaat tanggungan, elaun layanan sentiasa serta perkhidmatan pemulihan di pusat pemulihan PERKESO. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved