Kerajaan kaji pendekatan baharu nilai kelayakan bantuan, bukan lagi hanya B40, M40 dan T20 - Menteri Ekonomi

LocalBusiness & Finance
21 May 2026 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan kaji pendekatan baharu nilai kelayakan bantuan, bukan lagi hanya B40, M40 dan T20 - Menteri Ekonomi Image from: Kerajaan kaji pendekatan baharu nilai kelayakan bantuan, bukan lagi hanya B40, M40 dan T20 - Menteri Ekonomi hamden21/05/2026 - 17:03 editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan sedang mengkaji pendekatan lebih menyeluruh dan adil bagi menentukan kelayakan bantuan serta subsidi awam dengan mengambil kira pendapatan boleh guna bersih dan komitmen sebenar isi rumah, bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada klasifikasi B40, M40 dan T20.

 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu dibangunkan berasaskan konsep Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang membolehkan penilaian lebih tepat terhadap kemampuan sebenar sesebuah isi rumah.

 

Beliau berkata, perbincangan itu turut mengambil kira realiti krisis global semasa yang boleh meningkatkan lagi beban kos sara hidup rakyat sekiranya berlarutan.
 

Menurut beliau, pendekatan tersebut mengambil kira kos asas bagi memastikan standard kehidupan munasabah sesebuah isi rumah termasuk lokasi kediaman, jumlah tanggungan serta komitmen kewangan yang perlu ditanggung.

 

“Kita sedang membawa perbincangan tentang bagaimana untuk menilai keupayaan hidup rakyat bukan semata-mata berdasarkan pendapatan.

 

“Pendapatan yang diperoleh perlu mengambil kira perbelanjaan asas yang diperlukan oleh individu atau isi rumah untuk mengekalkan taraf kehidupan yang munasabah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

 

Ketika ditanya sama ada pendekatan itu akan menggantikan klasifikasi pendapatan sedia ada seperti B40, M40 dan T20, Akmal Nasrullah berkata, tiada keputusan dibuat setakat ini kerana perkara tersebut masih di peringkat perbincangan dan memerlukan persetujuan bersama di peringkat kerajaan termasuk Kabinet serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

 

Beliau berkata, pendekatan yang sedang dibincangkan tidak lagi memberi fokus kepada klasifikasi kumpulan pendapatan semata-mata, sebaliknya lebih menekankan keadaan sebenar isi rumah berdasarkan tanggungan dan komitmen masing-masing.

 

“Pengiraan ini tidak melihat kepada klasifikasi tersebut kerana satu keluarga mungkin mempunyai penilaian PAKW yang berbeza walaupun menerima gaji yang sama.

 

“Itulah sebabnya perbandingan berdasarkan pendapatan semata-mata kadangkala bukan perbandingan yang setara,” katanya.

 

Beliau berkata, pengiraan itu tidak bergantung kepada klasifikasi tetap seperti T20 atau B40 kerana dua keluarga dengan pendapatan sama mungkin berdepan tahap beban kewangan yang sangat berbeza.

 

Tambah beliau, pendekatan itu dilihat lebih tepat dalam mencerminkan kemampuan sebenar isi rumah khususnya bagi keluarga di kawasan bandar yang berdepan kos sara hidup dan komitmen lebih tinggi walaupun tergolong dalam kumpulan pendapatan lebih tinggi.

 

 

 

 

 

 

Data dan input yang digunakan dalam simulasi tersebut diperoleh menerusi Pangkalan Data Utama (PADU), namun beliau menegaskan bahawa perkara itu masih di peringkat perbincangan dan belum dibawa untuk pertimbangan rasmi dalam keadaan ekonomi semasa.

 

“Sekiranya terdapat keputusan lebih mendesak yang perlu dibuat, pandangan kami ialah ia tidak seharusnya dilihat hanya dari aspek pendapatan semata-mata, tetapi juga perlu mengambil kira perbelanjaan dan komitmen yang perlu ditanggung oleh sesebuah keluarga,” katanya. - BERNAMA
 

 

Terkini standard